
KUALA TERENGGANU: Mohd Khuzaini Ab Rahman bergegas ke blok B asrama lelaki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Putera apabila mendapat maklumat berlaku kebakaran, malam tadi.
Menurutnya, sebaik tiba api telah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan Bomba dan Penyelamat dengan kekuatan dua jentera dari balai Besut dan Jertih.
“Sebaik tiba di lokasi, saya terus diberi taklimat oleh ketua pasukan penyelamat bertugas mengenai keseluruhan kejadian,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera dalam catatan di laman sosialnya. (Foto atas)
Katanya, kebakaran bermula pada jam 10.30 malam yang mana telah melibatkan dua buah bilik asrama.
Beliau menambah, satu bilik yang tidak berpenghuni yang dilaporkan tempat bermulanya kebakaran dan telah merebak ke bilik asrama yang berpenghuni.
Menurutnya lagi, semua penghuni asrama tersebut telah diarahkan berkumpul di lokasi perhimpunan kecemasan.
“Setelah kiraan kepala (head count) dilakukan oleh pihak pengurusan asrama didapati semuanya cukup jumlah,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri.
Pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan pada jam 10.30 malam dan berjaya tiba di lokasi kebakaran pada jam 10.45 malam dan telah berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya dalam masa 10 minit
“Alhamdulillah, sepanjang insiden ini berlaku, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa yang terlibat.
“Saya berdoa agar semua warga MRSM Kota Putera dapat menerima ujian ini dengan penuh sabar dan reda,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/8/2024












