
KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Wan Badariah Wan Saad kembali memulakan tugasnya minggu lepas selepas pulih dari komplikasi kesihatan.
Wan Badariah, 48, yang juga memegang portfolio Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, sebelum ini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli mengesahkan bahawa Wan Badariah kini kembali bertugas seperti biasa dan semua portfolio tugas yang digalas sementara oleh dua Exco diserahkan semula kepada beliau.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Wan Zikri Afthar Ishak serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Megat Hashirat Hassan telah memangku portfolio beliau sepanjang tempoh rawatan.
“Alhamdulillah, Allah SWT kembalikan nikmat kesihatan kepada saya secara beransur-ansur untuk menjalankan tugas seperti biasa. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan saya.
“Dan mereka yang membantu memangku tugasan saya semasa tempoh rawatan,” kata Wan Badariah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer.
Wan Badariah ditidurkan pada 14 Mei lalu akibat komplikasi jantung dan paru-paru dan pemulihannya disambut baik oleh rakan-rakan dalam pentadbiran negeri.
Portfolio tugasnya kini kembali ke tangannya sepenuhnya, dan beliau dijangka meneruskan perancangan serta program yang telah dirangka sebelum ini.
Sidang media yang diadakan selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, turut menyaksikan kehadiran Wan Badariah ke dalam pentadbiran. – HARAKAHDAILY 29/8/2024











