Banyak perkara diperhalusi agar ‘RXZ Members 6.0’ lancar

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, banyak perkara diperhalusi agar program ‘RXZ Members 6.0’ berjalan lancar.

Beliau mengadakan perjumpaan bersama pihak penganjur program itu di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. (Foto atas)

“Pelbagai perkara perlu diperhalusi untuk memastikan program ini berjalan dengan lebih lancar dan tidak mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam catatan di Facebook beliau.

- Advertisement -

Beliau difahamkan, kerjasama pihak PDRM amat baik untuk memastikan perjalanan kali ini lancar.

Justeru, beliau juga berharap semua pengunjung diminta untuk mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

Menurutnya, jabatan-jabatan lain juga turut sama memberikan sokongan untuk penganjuran kali ini.

“Semoga perbincangan ini dapat mencapai matlamat yang diinginkan oleh penganjur, insya-Allah,” katanya yang juga DUN Tepuh.

Sementara itu, platform media sosial RXZ Members – Official memaklumkan program itu diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus pada 13 dan 14 September ini.

Menerusi platform itu, dimaklumkan hadiah utama iaitu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah Toyota Vellfire 2.5L, dua buah motosikal Yamaha RXZ sertai pelbagai lagi hadiah lumayan lain yang menanti peserta program berkenaan.

Himpunan RXZ Member 5.0 pada tahun lalu disifatkan paling meriah dengan kehadiran lebih 60,000 peserta seluruh negara termasuk Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei. – HARAKAHDAILY 29/8/2024

- Advertisement -