
KUANTAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu, terharu dengan tindakan seorang anak yang sanggup berhenti kerja demi menguruskan bapanya, Md Saman Abdullah yang menghidap sejenis penyakit.
“Saudara Md Saman bertuah apabila salah seorang anaknya sanggup berhenti kerja untuk membantu menguruskannya. Semoga Allah merahmati anaknya itu dunia dan akhirat.
“Sama-sama kita doakan Saudara Md Saman dan isteri serta seisi keluarga diberikan kekuatan atas ujian yang menimpa dan diberikan kebaikan oleh Allah atas kesabaran mereka,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Berkongsi kisah kunjungan ke rumah Md Saman di Kampung Alor Ladang bersama ahli-ahli PAS Cawangan Beserah Tengah, Andansura menyatakan kehairanannya terhadap simptom luar biasa yang dialami oleh pesakit tersebut.
“Ini pertama kali saya jumpa simptom penyakit keluar air dari kaki. Bukan dari tapak kaki, tapi dari bahagian keting dan betis.
“Kata isterinya, setiap hari dia perlu membalut kain untuk mengelakkan air membasahi lantai. Katanya kain itu basah dan berat macam lampin budak untuk menggambarkan kadar air yang keluar.
“Dia mengalami masalah yang tidak dapat disahkan penyakitnya. Darah tinggi, buah pinggang, diabetes, kanser semua dah dibuat ujian. Semuanya negatif. Jadi tiada ubat yang diberikan oleh doktor.
“Lebih menghairankan saya, tubuh Md Saman termasuk tangannya susut dan kurus. Tetapi perut hingga ke kaki besar,” katanya.
Kata Andasura, meskipun Md Saman menghadapi cabaran berat, dia tetap menunjukkan semangat tinggi yang sering senyum dan bergurau dengan orang di sekelilingnya.
“Md Saman sentiasa senyum dan suka bergurau. Malah dia sempat mengusik saya. Kata isterinya, dia memang suka bergurau dengan sesiapa sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/8/2024











