Naik taraf jalan kampung untuk kembang ekonomi rakyat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Walaupun bukan projek besar tetapi menaik taraf jalan kampung penting untuk perkembangan ekonomi rakyat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, manusia perlu bergerak untuk bekerja.

Justeru, katanya jalan perhubungan yang baik membolehkan pergerakan berjalan dengan cepat.

“Teori-teori ekonomi makro dan mikro kita terjemahkan secara langsung di lapangan,” ujarnya dalam catatan di Facebook beliau, hari ini.

Jelasnya, apa yang beliau cuba praktis ialah untuk bekerja bagi melengkapkan keperluan dalam rantaian pengeluaran sekalipun ia hanya satu usaha kecil.

“Tetapi impaknya kita perlu gabungkan dalam rantaian pengeluaran hasil yang lengkap,” katanya lagi.

Beliau memberi contoh yang mudah iaitu harga sebatang pensil 2B adalah murah tetapi digunakan untuk menanda kertas jawapan dalam peperiksaan.

“Tapi kita perlukan ia untuk menanda kertas jawapan dalam satu peperiksaan besar yang menentukan hala tuju masa depan,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.

Menerusi hantaran di laman sosial sebelum ini, beliau memuat naik beberapa jalan kampung yang telah dibina di DUN tersebut beberapa hari lalu.

Antaranya, laluan tepi sawah padi yang sangat tenang dan mendamaikan di Kampung Gong Lilit.

“Lebih comel lagi bila jalan batu kasaran tepi baruh padi Gong Lilit kita ubah jadi jalan tar. Jalan baru untuk warga Kampung Gong Lilit, Jabi,” ujarnya.

Di samping itu, lorong Masjid Kampung Kerandang telah diturap yang menggunakan peruntukan kerajaan negeri.

Selain itu, kemudahan untuk nelayan setempat juga dilakukan termasuk membina jeti baharu.

Justeru, beliau turut memaklumkan jeti nelayan di Kampung Batin Seberang Takir, Kuala Nerus telah dibaki dengan kos RM100,000 sahaja.

Jeti nelayan di Kampung Batin Seberang Takir yang telah dibina baru manakala foto bawah keadaan jeti sebelum itu.

Katanya, rakyat tidak perlu ucapan berdegar-degar kononnya mahu ekonomi negeri berkembang tetapi keadaan tempat mereka mencari makan menyedihkan.

“Kesukaran nelayan untuk berlabuh dan mendaratkan hasil akhirnya kita selesaikan dengan pembinaan sebuah jeti baru pada hujung tahun 2020. Kosnya RM100,000 sahaja,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/8/2024

- Advertisement -