
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, merencanakan belanjawan sebuah negeri bukanlah suatu perkara yang mudah.
Ini, ujarnya kerana ia memerlukan pertimbangan yang teliti terhadap pelbagai aspek ekonomi, sosial, dan politik untuk memastikan aliran kewangan yang berkesan dan adil.
Beliau menyatakan susulan bersama kepimpinan kerajaan negeri termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hadir ke Taklimat Khas Ekonomi Terengganu dan Libat Urus Bajet 2025 di KMI Kuala Terengganu Medical Center, di sini, petang semalam.
“Kami turut mendengar taklimat berkenaan prestasi kerajaan negeri yang dibentangkan oleh pihak penyelidik daripada TSIS (Terengganu Strategic & Integrity Institute),” katanya dalam catatan di laman sosialnya, malam tadi.
Katanya, hasil daripada sesi pembentangan itu akan dibawa oleh pimpinan kerajaan untuk dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa portfolio bagi merancang perjalanan negeri bagi tahun 2025.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim pula, sesi pendedahan seperti itu sangat penting untuk difahami oleh semua pimpinan kerajaan negeri termasuk ADUN.
Ini, ujarnya supaya hasrat dan impian kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan jayanya di peringkat akar umbi.
ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, bagi meningkatkan ekonomi sesebuah negeri ia memerlukan kepada perbincangan yang teliti dan khusus.
Menurutnya, ini untuk melihat semua aspek yang perlu diberi perhatian supaya ia terus berada di tahap yang baik.
“Sama-sama kita doakan agar negeri Terengganu ini terus akan terus maju dan berkembang ekonominya mengikut yang telah dirangka bagi menjelang tahun 2025,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/8/2024











