
JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu memberi perhatian terhadap peningkatan bilangan rakyat yang kurang berkemampuan untuk membeli atau mendapatkan makanan asas.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor (DMPNJ), Zakiah Tukirin berkata, sebahagian besar dari mereka tidak mendapat perhatian dari agensi kerajaan atas alasan birokrasi dan dokumentasi.
“Pengalaman saya selama hampir 15 tahun membantu golongan miskin bandar melalui NGO JB Prihatin, saya dapati bilangan keluarga yang tiada sumber pendapatan untuk mendapatkan makanan harian semakin meningkat setiap tahun.
“Dalam masyarakat kita, perlu diberi perhatian serius golongan yang tidak mampu menjana pendapatan sendiri terdiri dari warga emas, OKU, pesakit kritikal dan ibu tunggal yang ada anak kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian kematian seorang bapa dan anaknya yang merupakan seorang OKU yang berlaku di Sungai Abong dalam Parlimen Bakri baru-baru ini dipercayai akibat kelaparan.
Dalam kejadian itu, seorang lagi wanita berumur 44 tahun iaitu anak si mati yang juga seorang OKU turut ditemui tanpa makanan.
Tambah Zakiah, DMPNJ menzahirkan rasa dukacita yang amat sangat kerana ia berlaku di suatu kawasan dalam negara ini yang aman dari sebarang peperangan dan tidak pernah dikhabarkan berlakunya kekurangan makanan.
“Berita kematian dua beranak dalam keadaan kelaparan dan meninggalkan seorang lagi anak yang lemah kerana berhari-hari tiada makanan sangatlah mengejutkan.
“Walaupun ini kali pertama kejadian seumpamanya dilaporkan, namun isu rakyat Malaysia kekurangan makanan tidak boleh diambil ringan,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.
Katanya lagi, ada juga golongan kurang berkemampuan yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau agensi lain yang seumpamanya, namun jumlah wang diterima sangat kecil dan jauh dari mencukupi apatah lagi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat hari ini.
Tambahnya, walaupun terdapat banyak NGO yang turut berusaha menyantuni dan membantu golongan itu, namun mereka tidak mungkin dapat memberi jumlah yang memadai seperti yang mampu diberi kerajaan.
“DMPNJ menyarankan agar Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan yang lain dan NGO yang berpengalaman untuk memastikan golongan yang benar-benar tidak mampu menyara diri dan tanggungannya dapat diberi bantuan makanan dan sokongan moral secara berterusan dan lebih berkesan.
“Bantuan kepada rakyat adalah tanggungjawab pemimpin kepada rakyatnya bukan semata-mata untuk tujuan meraih undi dalam pilihan raya sahaja,” katanya.
Jelas beliau lagi, kejadian kematian bapa dan anak yang dipercayai kerana kelaparan itu membuka mata rakyat terhadap kerajaan yang selama ini sering melaung-laungkan ‘sifar miskin tegar’, namun apa yang berlaku tidak seperti yang diuar-uarkan.
“Jika benar usaha kerajaan membasmi kemiskinan ini berjaya dan hampir mencapai miskin sifar, mana mungkin bilangan mereka yang memohon bantuan kepada pelbagai NGO Kebajikan sentiasa meningkat setiap tahun?” soalnya. – HARAKAHDAILY 28/8/2024











