
SATU sisi kita akan lihat, aspek moral seolah tidak menjadi satu keperluan dalam pembangunan sesebuah negara, dan liberalis akan mengambil peluang untuk menyebarkan ideologi mereka.
Sindiran berbaur ini, boleh disimpulkan dalam topik “kawalan tubuh wanita”. Makin lantang menjadi perbahasan kini. Sindiran-sindiran halus tentang pelbagai isu wanita lalu di feed saya.
Mari kita luruskan fahaman.
My body my right
Liberalis ini seperti guru mereka (baca: Iblis) berpegang dengan teori, “kebebasan menguruskan tubuh adalah hak pemilik tubuh dan tidak boleh dicampuri oleh agama dan negara”.
Termasuk juga dalam fahaman mereka, hak melakukan pengguguran kandungan, memilih model pakaian dan lain-lain. Semua hanya atas hak individu mutlak.
Adapun Islam, menetapkan norma kehidupan baik di ruang awam mahupun global. Islam menjaga semuanya. Hikmahnya besar.
Malangnya peraturan-peraturan ini, liberalis menuduh seolah Islam menganggu kebebasan wanita dalam menguruskan tubuhnya. Adakah benar, perempuan bebas adalah perempuan paling bahagia?
Itu kita jawab nanti.
Bebas dalam Islam
Makna kebebasan dalam pandangan Islam (Islam Worldview) sangat berbeza dengan makna kebebasan yang diperjuangkan oleh kaum feminis materialistik yang cenderung mengabaikan nilai-nilai rohani.
Dalam Islam, konsep kebebasan sangat terkait dengan “hutang” manusia kepada Allah SWT, yang telah memberikan manusia kewujudan dari “tidak ada” menjadi wujud.
Syed M.Naquib al-Attas menyebutkan, keberhutangan ini menempatkan manusia sebagai hamba Tuhan.
Kebebasan (al-hurriyyah) dalam Islam akan didapati ketika manusia bertindak atau berperilaku sesuai dengan fitrahnya.
Islam adalah agama yang adil dengan fitrah manusia, menjadikan tunduk dan taat kepada perintah agama, iaitu syariat Islam, bukanlah bentuk perampasan kebebasan, tetapi sebenarnya penjagaan terhadap kebebasan manusia yang paling terbaik.
Fungsi syariat: Menjaga wanita
Kedudukan perempuan dalam Islam bukanlah sebagai objek seks yang boleh ditindas.
Diri perempuan adalah milik Allah SWT yang harus dijaga oleh syariat, baik dari kezaliman yang dilakukan oleh diri sendiri mahupun kezaliman yang dilakukan oleh orang lain.
Antara fungsi syariat adalah menjaga manusia agar tetap sesuai dengan fitrahnya, kerana hanya Allah SWT yang paling memahami keadaan makhluk ciptaan-Nya. Sama halnya dengan hukum-hukum yang lain. Hanya Allah paling tahu, hukuman yang menta’dibkan manusia.
Jika kebebasan ala feminis ini dijadikan panduan hidup, negara akan melakukan kezaliman yang sangat besar terhadap kaum perempuan.
Maka tunggulah balanya. Terjerumusnya perempuan ke dalam kehancuran dan kesengsaraan, jauh dari kebahagiaan yang hakiki yang ditawarkan oleh Islam.
Konklusinya, pemikiran terdoktrin liberalism, feminism akhirnya memang anti agama.
AINNUR UKHTA UWAIS
28 Ogos 2024 – HARAKAHDAILY 28/8/2024











