Usaha jahat gambarkan kehidupan beragama negatif

Ustaz Rosli Abdul Jabar
- Advertisement -

KUANTAN: Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar menegaskan bahawa terdapat usaha jahat oleh pihak tertentu untuk menggambarkan kehidupan beragama sebagai sesuatu yang negatif, sambil menganggap hidup tanpa batasan halal dan haram sebagai suatu kebaikan dan simbol toleransi.

- Advertisement -

Kata beliau, musuh-musuh Islam cuba sedaya upaya untuk menjauhkan umat Islam dari sumber utama kekuatan dan kemuliaan mereka, iaitu Islam.

Menurutnya, golongan ini mahu umat Islam mengikuti cara hidup mereka, termasuk berjudi, mendedahkan aurat, berzina dan berpolitik tanpa panduan agama.

“Bila umat Islam semakin jauh dari agama maka semakin mudah mereka menindas umat Islam.

“Kepada umat Islam, yakinlah bahawa Islam ini agama perpaduan, semakin kita berpegang dengan Islam maka umat ini semakin berpadu dan harmoni.

“Jika menjauhi Islam maka akan berlakulah penindasan terhadap sesama manusia sama ada penindasan dari sudut politik, ekonomi dan sosio kehidupan manusia,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.

Terdahulu, tular satu hantaran yang bertajuk ‘Politik radikal parti PAS akan kuasai Malaysia 10 hingga 20 tahun akan datang’.

Kiriman yang ditulis oleh pemilik akaun bernama Badut Gaming itu membawa fitnah berat sehingga mengatakan parti PAS ancaman besar kepada perpaduan, keharmonian dan kestabilan politik serta ekonomi negara.

Menerusi hantaran sama, mereka mendakwa agenda politik radikal parti PAS menjurus kepada ekstemisme di mana corak politik dan pentadbiran mirip Syiah, Khawarij dan Wahabi.

Rosli mengingatkan bahawa Allah SWT telah mengurniakan Islam sebagai anugerah yang sangat berharga kepada umat Islam.

“Allah SWT telah kurniakan Islam yang sangat bernilai kepada kita, mari kita semakin mendekati Islam dengan hadir ke majlis ilmu dan sentiasa mendampingi para ulama/ilmuan Islam.

“Jangan terpengaruh dengan manusia hina ini, syaitan bertopeng manusia ini sedang menghasut agar kita menjauhi Islam yang menyebabkan kita kehilangan kemuliaan.

“Kalau kita ikut hasutan mereka akhirnya nanti kita hilang kemuliaan dan terpaksa sujud di kaki mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2024

- Advertisement -