
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan insentif akan disediakan untuk atlet yang menyumbang pingat dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, baru-baru ini.
Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, keputusan mengenai pelaksanaan dan butiran insentif itu akan diumumkan selepas laporan penuh pencapaian atlet diterima.
“Insentif ini tetap ada insya-Allah tapi saya akan tunggu laporan penuh sebelum buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas program pembersihan Pantai Batu Buruk kerjasama antara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan MS Citajaya Sdn. Bhd. di Dataran Batu Buruk, di sini, hari ini.
Majlis telah disempurnakan oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Samsuri berkata, fokus utama kerajaan negeri kini sedang memperkemaskan pelan strategi bagi memastikan kejayaan yang lebih baik dalam SUKMA akan datang.
“Apa yang perlu kita buat, yang paling penting ialah bagaimana kita nak melaksanakan pelan strategi yang lebih kemas supaya dua tahun lagi kita akan tambahbaik keadaan tentulah target kita ke depan untuk menjadi juara. Jadi saya rasa itu yang kita akan fokus,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas berhubung insentif untuk atlet bertanding secara individu, tanpa melalui kerajaan negeri namun memperolehi pingat, beliau berkata, keputusan muktamad akan dibuat selepas perbincangan.
Terdahulu, Terengganu memperoleh kedudukan lima teratas pada SUKMA dengan membawa pulang 41 pingat emas, 36 perak dan 47 gangsa. – HARAKAHDAILY 27/8/2024











