Penyakit bukan ruminan jejas keselamatan makanan, ekonomi negara

- Advertisement -

DUNGUN: Penyakit bukan ruminan khususnya unggas seperti Avian Influenza dan Salmonella, bukan sahaja memberi impak besar terhadap kesihatan haiwan tetapi menjejaskan keselamatan makanan dan ekonomi negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata Avian Influenza (AI) memberi kesan besar kepada Malaysia dalam pelbagai aspek.

Menurutnya, High Pathogenic Avian Influenza (HPAI), dengan virulensi tinggi, menyebabkan kematian yang ketara dalam populasi unggas dan menimbulkan risiko serius terhadap keselamatan makanan.

- Advertisement -

“Ini boleh mengakibatkan kerugian ekonomi yang besar melalui kos pemusnahan unggas, pengurusan wabak, dan gangguan dalam pengeluaran serta pasaran daging dan telur,” ujarnya Ketika merasmikan Kempen Kesedaran Awam Penyakit Ternakan Bukan Ruminan Berimpak Ekonomi dan Zoonotik di sini, hari ini. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Anun Man. (Foto atas)

Katanya, Low Pathogenic Avian Influenza (LPAI), yang lebih kurang virulen, menyebabkan masalah kesihatan ringan pada unggas dan memberi impak ekonomi yang lebih kecil.

Tambahnya, walaupun risiko kepada keselamatan makanan adalah rendah, LPAI masih memerlukan perhatian untuk memastikan kualiti dan pengeluaran yang konsisten.

Secara keseluruhan, ujarnya kedua-dua jenis AI memerlukan pengurusan yang berkesan untuk mengurangkan kesan negatif terhadap kesihatan haiwan, keselamatan makanan, dan ekonomi.

Dari segi kerugian ekonomi, katanya disebabkan kos pemusnahan ayam dan kawalan penyakit serta kenaikan harga daging ayam di samping gangguan rantaian bekalan di mana kekurangan bekalan dan masalah pengedaran ayam ke pasaran.

Mengenai impak Kesihatan, ujarnya melibatkan risiko kesihatan manusia di mana potensi penularan H5N1 yang boleh menyebabkan penyakit serius dan kematian serta kos perubatan iaitu rawatan bagi kes jangkitan AI.

Katanya, impak sosial melibatkan kebimbangan awam di mana kesejahteraan mental terjejas akibat kebimbangan tentang keselamatan makanan, sementara dari sudut pendapatan dan pekerjaan ialah kehilangan pekerjaan dalam sektor ternakan akibat penutupan ladang.

Tambahnya, dari aspek kualiti hidup pula kenaikan harga ayam memberi kesan kepada kos sara hidup, terutama golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata secara global, penyakit seperti AI telah menyebabkan kemusnahan besar kepada industri ternakan dengan lebih daripada 70 juta burung dimusnahkan pada tahun 2022 sahaja.

Begitu juga, ujarnya dengan Salmonella, yang menyebabkan lebih daripada 1.35 juta jangkitan di Amerika Syarikat setiap tahun.

Ini, katanya menekankan betapa kritikalnya isu itu di peringkat global.

Di Malaysia, jelasnya kadar Self-Sufficiency Rate (SSR) menunjukkan bahawa negara ini hampir sepenuhnya bergantung kepada pengeluaran domestik untuk beberapa komoditi penting.

“Untuk daging ayam, Malaysia mempunyai SSR sekitar 97 peratus, yang menunjukkan bahawa kita hampir sepenuhnya bergantung kepada pengeluaran domestik untuk memenuhi keperluan daging ayam kita,” ujarnya.

Tambahnya, begitu juga dengan telur, SSR Malaysia adalah sekitar 96 peratus, menunjukkan pengeluaran domestik yang tinggi dalam memenuhi keperluan telur.

Namun, katanya untuk susu, SSR Malaysia adalah sekitar 41 peratus, menunjukkan kebergantungan yang lebih besar terhadap import untuk susu.

Beliau menambah, bagi daging lain seperti daging lembu dan kambing, Malaysia masih bergantung pada import dengan SSR yang lebih rendah berbanding daging ayam dan telur.

Katanya, di peringkat negeri Terengganu, pada tahun 2023, kadar SSR bagi daging ayam adalah 72.71 peratus.

Menurutnya, ini bermakna Terengganu dapat memenuhi sekitar 72.71 peratus daripada keperluan daging ayamnya melalui pengeluaran domestik, sementara selebihnya, iaitu 27.29 peratus, bergantung kepada import.

“Penyakit yang menyerang ternakan bukan ruminan boleh memberi kesan yang signifikan terhadap SSR negara kita.

“Contohnya, wabak Avian Influenza boleh mengurangkan pengeluaran daging ayam dan telur secara mendadak, menyebabkan kekurangan bekalan dan meningkatkan kebergantungan kita terhadap import,” ujarnya lagi.

Ini, katanya bukan sahaja menjejaskan SSR tetapi juga mengancam keselamatan makanan dan kestabilan harga.

“Jika penyakit seperti Salmonella atau Avian Influenza tidak dikawal dengan berkesan, kita mungkin akan melihat penurunan dalam SSR bagi komoditi-komoditi tersebut, memerlukan lebih banyak import untuk menampung kekurangan yang berlaku,” jelasnya.

Beliau juga berkata, kempen itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dengan memberi maklumat mendalam tentang penyakit zoonotik dan kesannya terhadap manusia serta ekonomi.

Di samping itu, ujarnya untuk memperkukuhkan pengurusan biosekuriti dengan meningkatkan pemahaman tentang langkah-langkah kawalan penyakit dan pengurusan biosekuriti di ladang ternakan di samping mengedukasi tentang penggunaan antibiotik yang betul dan mengelakkan kerintangan antibiotik.

Dr Azman mengucapkan tahniah kepada semua penerima sijil ladang bebas penyakit kategori ruminan yang akan diumumkan hari ini.

“Pencapaian ini adalah hasil daripada usaha, dedikasi, dan komitmen yang tinggi dalam mengamalkan pengurusan ladang yang cemerlang.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan standard yang tinggi dalam pengurusan ladang, tetapi juga merupakan contoh teladan yang patut dicontohi oleh semua penternak,” katanya.

Beliau menambah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar amat menggalakkan semua penternak tidak kira ruminan atau bukan ruminan untuk terus berusaha dalam memastikan ladang mereka bebas dari penyakit.

“Penerimaan sijil ini adalah bukti kejayaan anda dalam menjaga kesihatan ternakan dan memastikan keselamatan makanan.

“Teruskan usaha ini dengan semangat yang tinggi dan jaga mutu serta amalan yang telah terbukti berkesan,” tambahnya.

Beliau truut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan kempen itu terutama kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, penceramah-penceramah berpengalaman,dan semua peserta yang hadir.

“Usaha ini adalah cerminan komitmen kita dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan sektor penternakan di Negeri Terengganu.

“Saya berharap agar kempen ini bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan tetapi juga membawa perubahan positif dalam amalan penternakan kita, serta memperkukuh langkah-langkah kawalan penyakit dan biosekuriti bagi memastikan keberhasilan dalam sektor keselamatan dan keterjaminan makanan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/8/2024

- Advertisement -