
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelarasan gaji penjawat awam di negeri ini tidak akan terjejas sekiranya dibiayai menggunakan wang royalti petroleum.
“Sekiranya itu dimasukkan dalam emolumen yang sepatut dibayar oleh kerajaan negeri yang diambil oleh wang tunai petroleum ataupun wang royalti sepatutnya tidak ada masalah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Al-Quran Di Hatiku bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Serada, di sini, hari ini. (Foto atas)
Kata beliau, kerajaan negeri kini sedang dalam proses perbincangan dengan pihak kementerian berhubung langkah seterusnya dalam pelaksanaan pelarasan gaji.
“Kita akan ikut penyelarasan gaji itu seperti yang diumumkan oleh setiausaha kerajaan negeri. Sekarang ini kita sedang berbincang dengan pihak kementerian tentang langkah selanjutnya,” katanya.
Mengulas mengenai pelarasan gaji untuk pekerja kontrak, beliau berkata, pihaknya akan memberikan penjelasan terperinci selepas rundingan dilakukan.
“Lebih detail kita akan maklum kemudian sebab kita kena tengok kos keseluruhan dan bagaimana rundingan kita dengan pihak kementerian,” katanya.
Pada 16 Ogos lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).
Beliau berkata, pelaksanaan pemberian pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2. – HARAKAHDAILY 26/8/2024











