
KUALA TERENGGANU: Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan bahawa penyertaan atlet wanita Terengganu dalam acara terjun di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 tidak mendapat kelulusan rasmi daripada kerajaan negeri.
Beliau berkata, pada dasarnya, pihaknya tetap berpegang kepada kod etika berpakaian atlet Muslim ketika bersukan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan negeri sebelum ini.
Malangnya, penyertaan atlet wanita tersebut berlaku tanpa pengetahuan atau kebenaran beliau.
Hishamuddin memaklumkan bahawa penyertaan itu dikendalikan oleh Persatuan Renang Amatur Terengganu yang bertindak di luar kawalan pihaknya dan menggunakan perbelanjaan sendiri.
“Perkara ini telah dirujuk kepada pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu dan dimaklumkan ia penyertaan yang dihantar oleh Persatuan Renang Amatur Terengganu dan berada di bawah perbelanjaan sendiri. Hanya memohon kuota Terengganu.
“Persatuan Renang Amatur Terengganu juga telah melakukan kunjungan hormat kepada saya pada 5 Jun 2024 untuk memohon pelepasan ini. Waktu itu juga saya telah tegaskan kerajaan negeri tidak dapat membenarkan sama sekali kerana bercanggah dengan garis panduan yang telah diperkenalkan sekalipun atlet bukan berasal dari Terengganu jika ianya seorang Muslim.
“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri mempertimbangkan kebenaran untuk atlet bukan Islam bagi acara ini. Penegasan awal kepada pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu adalah supaya tiada Atlet Wanita Terengganu dan Muslim yang menyertai acara tersebut kerana pakaian atlet wanita dalam acara tersebut tidak mematuhi kod etika yang telah ditetapkan sekalipun atlet berkenaan bukan berasal dari Terengganu.
“Penyertaan atlet berkenaan dalam acara tersebut tidak berada dalam pengetahuan saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri dan saya sangat terkejut dengan laporan pihak lain tentang penyertaan tersebut pada hari kejadian juga amat berdukacita dengan berlakunya penyertaan ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau juga telah meminta pihak pengurusan MSNT untuk menyediakan laporan lengkap berkaitan penyertaan atlet wanita berkenaan dan akan memanggil pihak persatuan serta MSNT untuk memberikan penjelasan terperinci selepas selesai perjalanan SUKMA 2024.
“Tindakan selanjutnya akan dibuat setelah selesai sesi pendengaran oleh pihak persatuan.
“Saya juga amat berterima kasih kepada semua atas perhatian dalam isu ini. Nampaknya semua menyokong usaha-usaha Kerajaan Negeri Terengganu walaupun ada yang terlepas dari kawalan.
“Harapnya tiada lagi kedengaran, Kerajaan Negeri Terengganu mendiskriminasikan wanita. Malah sebenarnya, sentiasa berusaha memartabatkan maruah kaum wanita muslim.
“Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri Terengganu tidak menghalang pengamalan berpakaian kaum bukan Islam,” katanya.
Kata beliau, penjelasan itu dibuat setelah selesai perjalanan SUKMA 2024 untuk menumpukan terlebih dahulu persaingan baki acara yang masih ada sepanjang SUKMA 2024 tempoh hari. – HARAKAHDAILY 26/8/2024











