
PAPAR: “Anak muda merupakan tonggak masa depan negara,” kata Ketua Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah.
Justeru, beliau mengharapkan setelah 67 tahun Malaysia merdeka, generasi muda hari ini dapat terus memperkukuhkan perpaduan, menghargai kemerdekaan yang telah dikecapi dan memainkan peranan aktif dalam membentuk negara yang sejahtera.
“Generasi muda harus sentiasa berpegang kepada nilai-nilai murni, berusaha untuk meningkatkan diri dan berbakti kepada negara.
“Jangan sesekali lupa akan sejarah perjuangan kemerdekaan dan pastikan semangat ini terus hidup dalam diri setiap rakyat Malaysia,” ujarnya selepas program Konvoi Mega Geng Motor di sini, semalam.
Hadir sama dalam konvoi tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, timbalannya, Dr Afifi Saif, Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri, Khairul Azlee Mohd Yunus, Pengerusi ARC Sabah, Rashlie Jonklas dan Timbalan Pengerusi ARC Zon Borneo, Che Mohamad Hafifi.
Menurut Hendri, program konvoi motor tersebut adalah cara yang berkesan untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan anak muda.
Katanya, melalui program seperti itu, dapat menanamkan rasa cinta kepada negara dan mengingatkan tentang pengorbanan para pejuang kemerdekaan.
“Selain itu, dengan program sebegini dapat mengeratkan silaturahim antara anak muda yang berbeza latar belakang.
“Menerusi konvoi ini juga, PAS dapat mendekati anak-anak muda sambil menzahirkan semangat kemerdekaan dan cintakan negara,” ujarnya.
Lebih 50 buah motosikal menyertai konvoi tersebut yang melibatkan tiga buah daerah iaitu Sepanggar, Putatan dan berakhir di Papar.
Antara pengisian semasa konvoi tersebut ialah edaran bendera Malaysia dan Sabah ke beberapa kampung serta masjid sebagai simbolik kebersamaan menyambut Hari Malaysia.
Program itu juga mendapat kerjasama yang baik daripada pihak Polis Diraja Malaysia dengan mengawal trafik sepanjang konvoi berlangsung. – HARAKAHDAILY 26/8/2024











