
SELURUH makhluk tunduk atau sujud kepada perintah dan ketentuan Allah SWT. Mereka wujud di alam ini mengikut perintah-Nya.
Sebagai contoh, matahari sifatnya berpusing di atas orbitnya. Inilah yang dimaksudkan dengan tunduk. Matahari sentiasa menyala. Pada waktu malam, kita tidak dapat melihat dalam gelap. Bukan kerana tiada matahari, tetapi bumi berpusing.
Dahulu, orang kata matahari mengelilingi bumi. Tetapi mengikut kajian sains yang telah dibuat, didapati bahawa bumilah sebenarnya mengelilingi matahari. Bumi yang menghadap matahari akan mengalami cerah.
Apabila bumi berpusing, ia bertukar, yang cerah menjadi gelap dan yang gelap menjadi cerah. Dari situlah berlakunya siang dan malam. contohnya, kawasan di Artik mengalami siang selama enam bulan dan malam selama enam bulan.
Bulan pun sama. Ada prosesnya yang berlaku setiap hari. Ada ketika cahayanya penuh, ada ketika menjadi bulan sabit. Oleh sebab itu, kita boleh menentukan hari bulan. Tamadun Timur seperti China dan Jepun menggunakan peredaran bulan, jadi tahunnya ialah tahun bulan yang dikenali sebagai Lunar Year. Tamadun Barat menggunakan peredaran matahari, jadi tahunnya dikenali sebagai Solar Year.
Gunung pun sama, terpacak tidak bergerak di kedudukannya. Maksud lain tunduk kepada perintah-Nya ialah manusia boleh mengambil manfaat daripadanya. Gunung disodok untuk pembinaan jalan raya atau tanahnya diambil untuk meratakan kawasan lembah.
Pokok kayu pun sama, yang ini tumbuh di sini, yang itu tumbuh di situ. Oleh sebab itu, ia tidak semestinya boleh ditanam di semua tempat. Ada tempat yang tidak sesuai dengannya. Misalnya, pokok tamar memerlukan tanah yang berpasir dan kepanasan yang tertentu. Kalau tidak cukup panas, buahnya tidak banyak. Kepanasan di negara kita tidak serupa dengan Tanah Arab.
Apa yang Allah tentukan, pokok tidak langgar. Dengan rasanya dan bentuknya, seperti itulah. Tidaklah kata ia buat ‘plastic surgery’ seperti mana manusia buat pada hari ini. Makhluk lain seperti tumbuh-tumbuhan dan binatang kekal seperti yang asal. Ia tunduk kepada ketentuan Allah. Ia tidak meminda dan mengubah.
Dari segi hukum, kalau kita saja-saja nak mengubah ciptaan-Nya tanpa alasan yang berasas, maka tidak dibenarkan kecuali dengan nasihat doktor.
Binatang seperti kambing, lembu, ikan, ayam dan sebagainya juga sama tunduk kepada perintah-Nya. Lembu dan kerbau digunakan untuk menggala, menarik kereta atau balak, ia turut sahaja sebab itu ketentuan-Nya. Tidak pernah dengar lagi kerbau mencari kerja lain. Manusia sahaja yang mampu buat begitu.
‘Yasjudu’ maknanya makhluk tunduk mengikut ketentuan Ilahi. Ada ramai manusia yang beriman dengan Allah SWT dan hidupnya mengikut kehendak-Nya. Ramai juga yang tidak beriman.
Ada juga yang beriman tetapi tidak beramal soleh atau disebut sebagai orang yang fasik. Beriman tetapi tidak mengamalkan agama contohnya selalu melakukan dosa kecil. Sudah menjadi tabiat. Orang yang fasik ialah orang yang melakukan dosa kecil secara berterusan. Dosa yang nampak kecil tetapi kalau selalu dibuat, lama-lama akan menjadi dosa besar.
Ada juga yang menjadi fasik kerana melakukan dosa besar dan tidak bertaubat seperti derhaka kepada ibu bapa, mengamalkan sihir, minum arak, berzina dan membunuh orang. Ada satu kitab yang menyenaraikan tujuh puluh dosa besar iaitu Al-Kabaair.
Maka, orang yang melakukan dosa besar ini juga akan dikenakan azab oleh Allah SWT. Allah menghinanya di akhirat. Kadang-kadang, Allah tidak ambil kisah dan biarkan sahaja. Ada yang Allah tunjuk keburukannya di akhirat. Yang paling besar ialah Allah tidak tengok langsung. Orang yang dihina oleh Allah di akhirat tidak akan dimuliakan oleh sesiapa pun. Sebab orang lain sudah tiada kuasa. Kalau di dunia ya, ada pangkat, harta dan sebagainya. Tetapi di akhirat, tiada apa-apa lagi.
أَلَمۡ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ یَسۡجُدُ لَهُۥ مَن فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰتِ وَمَن فِی ٱلۡأَرۡضِ وَٱلشَّمۡسُ وَٱلۡقَمَرُ وَٱلنُّجُومُ وَٱلۡجِبَالُ وَٱلشَّجَرُ وَٱلدَّوَاۤبُّ وَكَثِیرࣱ مِّنَ ٱلنَّاسِۖ وَكَثِیرٌ حَقَّ عَلَیۡهِ ٱلۡعَذَابُۗ وَمَن یُهِنِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُۥ مِن مُّكۡرِمٍۚ إِنَّ ٱللَّهَ یَفۡعَلُ مَا یَشَاۤءُ
Maksudnya: Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya. (Surah Al-Hajj: 18)
Ayat ini merupakan salah satu ayat yang disunatkan untuk sujud Tilawah atau sujud Sajadah. Ada tujuh belas tempat dalam al-Quran yang disunatkan untuk kita sujud apabila membaca ayat-ayat tersebut. Sesetengah imam akan memberitahu kepada makmumnya apabila nak membaca ayat Sajadah.
Walaupun dalam solat biasa seperti solat Zohor dan Asar, sunat untuk kita sujud. Tidak semestinya solat Subuh pada hari Jumaat. Sujud pun disebabkan membaca surah Sajadah. Kalau tidak, tidak boleh sujud sesuka hati. Membacanya sunat kerana Nabi buat (Rujuk Riwayat Imam Bukhari: 891 dan Imam Muslim: 880).
Kalau tidak membacanya pun tidak mengapa. Niatkan apabila kita membaca surah Sajadah dalam solat Subuh pada hari Jumaat kerana nak mengambil Sunnah bukan semata-mata sebab nak sujud.
Jadi, seeloknya imam kita beritahulah kepada makmum kalau nak membaca surah Sajadah. Kalau di Makkah, memang tidak diberitahu kerana mereka sudah terbiasa dan memahami ayat yang dibaca oleh imam. – HARAKAHDAILY 25/8/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















