Kura-kura dan arnab, perlawanan tidak adil di Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membawa contoh PAS seperti kura-kura dan Umno pula seperti arnab dilihat bagus.

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, biarkan rakyat ingat balik cerita arnab yang kalah dengan kura-kura dalam lumba lari.

“Inilah perlawanan yang tidak adil di Malaysia. PAS sejak dahulu ditindas dengan penafian hak seperti royalti minyak dan peruntukan kepada pembangkang di Persekutuan.

- Advertisement -

“Namun dengan prinsip perjuangan yang kukuh, PAS semakin diterima rakyat. Arnab yang awalnya laju, menang berkuasa, akhirnya tertidur kerana besar diri, megah dan leka.

“Kenapa? Umno mula ditolak rakyat kerana budaya rasuah dan politik wang yang membarah dalam Umno untuk berkuasa dan mempertahankan kuasa,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Akhirnya menurut Zurk, Umno tersungkur buat pertama kalinya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan lebih malang lagi di era Presiden Umno sekarang di mana Umno hanya tinggal 26 kerusi Parlimen.

Umno ujar beliau, kalah di 89 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya dapat ‘telur ayam’ di negeri Terengganu.

“Demi kuasa, Umno bersekongkol dan lembik lutut dengan parti yang, memperjuangkan Malaysian Malaysia, menolak ketuanan Melayu; mahu melantik bukan-Melayu sebagai Perdana Menteri; anti Qunut Nazilah dan kostum pejuang Palestin dan alergi kepada perkataan kafir dan Zionis,” jelas beliau.

Dalam pada itu, ujarnya, Presiden Umno ada menyebut, ‘Jika bukan kita sebagai pemelihara kedudukan Melayu bangkit menentang ICERD (Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum) nescaya konvensyen itu ditandatangani oleh Menteri Luar ketika itu’.

“Lupakah Zahid parti kura-kura inilah yang pertama kali menghulur tangan kepada Umno untuk terus mempertahankan kedudukan Melayu?

“Lupakah Zahid janji beliau kepada ahli-ahlinya, ‘No Anwar No DAP’?” ujar beliau.

Tambahnya, Zahid diseru untuk mendengar atau mematuhi titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah yang menyeru umat Islam di dalam negara supaya tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada kalangan mereka yang terpalit rasuah dan salah guna kuasa.

“Semoga Zahid boleh patuh kerana prinsip memperjuangkan bangsa dan agama tidak boleh dengan rasuah.

“Biar lambat, asalkan jangan makan rasuah dan gadai prinsip parti. Kita bukan nak menang di dunia sahaja, ingat juga akhirat,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 24/8/2024

- Advertisement -