
KOTA MELAKA: Hujan dan ribut kuat yang melanda beberapa kawasan di sini malam tadi telah menyebabkan berlaku banjir kilat di beberapa kawasan.
Turut terjejas teruk ialah peniaga-peniaga di ekspo Uptown Pahlawan Walk, Banda Hilir dan kawasan Pantai Klebang yang khemah dan barang perniagaan mereka rosak teruk akibat dilanda ribut kuat.
Berdasarkan video dan foto yang dikongsi pengguna media sosial, beberapa jalan raya melibatkan pusat-pusat membeli belah terkenal di Banda Hilir seperti Dataran Pahlawan turut dinaiki air.
Sementara itu, pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka melaporkan bahawa banjir kilat telah berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Pengkalan Batu dan Banda Hilir.
“Hujan lebat bermula 7:30 malam menyebabkan perparitan melimpah. Maklumat berdasarkan rondaan APM, orang awam dan aduan talian kecemasan 999,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, banjir kilat yang melanda setakat ini tidak melibatkan sebarang pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS) kerana tiada keperluan untuk memindahkan mangsa terlibat.
Katanya, kawasan yang terjejas melibatkan 23 buah rumah di Kampung Chetti, Kampung Morten (30), Kampung Pulau Kelapa (35), Kampung Batu Hampar (15).
Turut terlibat ialah Kampung Bukit Piatu melibatkan lima buah rumah, Kampung Solok Musai (15), Banda Kaba (10), Bukit Cina Taman Wan Show (15) dan Kampung Banda Hilir (4). – HARAKAHDAILY 24/8/2024











