Uwais terharu terima surat tawaran KUIPs

- Advertisement -

KANGAR: Uwais Mohamad Sofi, 18, tidak menyangka akan menerima kunjungan istimewa daripada Ketua Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam (FPI) Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Ahmad Ismail.

- Advertisement -

“Kehadiran mereka adalah untuk menyerahkan surat tawaran pengajian bagi kemasukan sesi September 2024/2025,” kata Uwais yang bekerja sambilan di kantin Sekolah Kebangsaan Seri Perlis, di sini.

Anak sulung daripada empat beradik itu sebelum ini memaklumkan kepada pihak FPI KUIPs bahawa beliau tidak dapat hadir ke hari terbuka yang diadakan semalam dan hari ini kerana terikat dengan kerja sambilan di kantin sekolah tersebut.

Namun, beliau tidak menyangka pihak universiti sendiri yang akan hadir ke tempat kerjanya untuk menyerahkan surat tawaran memandangkan bekerja dari awal pagi sehingga jam tiga petang setiap hari. (Foto atas)

“Alhamdulillah, saya telah menerima surat tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam Diploma Syariah selama dua tahun enam bulan di KUIPs,” tambahnya lagi.

Uwais berharap agar cita-citanya untuk menjadi guru agama dapat direalisasikan dengan peluang yang diberikan oleh KUIPs.

Sementara itu, Ahmad Ismail, menyatakan bahawa pihaknya ada menghubungi Uwais untuk memaklumkan mengenai hari terbuka, namun pelajar itu melahirkan rasa kecewa kerana tidak dapat hadir.

“Setelah berbincang, kami mengambil keputusan untuk hadir ke tempat kerjanya dan menyerahkan surat tawaran pengajian,” jelasnya yang turut disertai Atif Che Adnan, Rohana Zainol dan Noor Aini Busu dari FPI KUIPs.

Pengusaha dan pekerja kantin di sekolah tersebut turut melahirkan rasa gembira atas kejayaan Uwais menyambung pengajiannya di KUIPs. – HARAKAHDAILY 23/8/2024

- Advertisement -