
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sesetengah portal yang menyebarkan berita palsu, baik bermotifkan politik, mahupun yang mempunyai motif lain.
Ketua DPPM, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, baru-baru ini, satu portal mirip Malaysiakini yang menyiarkan berita berkenaan kenyataan palsu Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man tular dalam kalangan warga net.
“Hal tersebut telah dinafikan sendiri oleh portal rasmi Malaysiakini.
“Penyebaran berita-berita palsu secara sistematik telah digerakkan oleh portal atau halaman yang menggunakan nama persis media rasmi seperti ini semakin menjadi-jadi.
“Apatah lagi portal seperti Harakatdaily dan Harakakdaily yang dicipta untuk memfitnah PAS-Perikatan Nasional (PN),” katanya yang juga Ahli Parlimen Alor Setar dalam satu kenyataan.
Setiap hari menurutnya, halaman-halaman tersebut semakin galak menyebarkan fitnah dan berita palsu dan lebih mengecewakan apabila jumlah suka dan kongsi di ‘hantaran-hantaran’ tersebut adalah tinggi.
“Sementara di bahagian komen pula, meriah dengan perdebatan dan pergaduhan antara netizen.
“Hal ini membuktikan bahawa berita-berita ini telah diterima bulat-bulat oleh segelintir rakyat tanpa diketahui kebenarannya terlebih dahulu.
“Kesannya, api kebencian dan pergaduhan semakin bersemarak dalam kalangan rakyat Malaysia,” jelas beliau.
Oleh sebab itulah menurut Afnan, Islam meletakkan hukum memfitnah ialah haram dan berdosa besar kerana boleh memecah belahkan umat.
Baginda S.A.W katanya telah mengeluarkan kecaman keras terhadap perbuatan tersebut dalam satu sabdanya yang diriwayatkan Huzaifah R.A. yang bermaksud, ‘Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah‘.
“Justeru, rakyat diminta agar berwaspada dengan sebarang berita yang dibaca. Islam mengajar umatnya untuk sentiasa ber’tabayyun’ yakni mengesahkan dahulu sebarang perkara yang didengari daripada sesiapa sahaja.
“Dalam pada itu, pihak kementerian berkenaan diminta supaya lebih adil dalam membanteras fitnah yang sedang berleluasa di Malaysia.
“Slogan ‘Tidak Pasti Jangan Kongsi’ tidak sepatutnya digerakkan untuk membetulkan kefahaman rakyat terhadap pihak kerajaan semata-mata.
“Bahkan, amanah dan kuasa perlu dimanfaatkan untuk menyekat segala bentuk gejala fitnah tanpa mengira siapa, pangkat dan kedudukannya kerana amanah anda untuk kesejahteraan agama, rakyat dan negara. Bukan untuk parti anda sahaja,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, satu kesedaran kolektif dalam kalangan rakyat Malaysia amatlah diperlukan bagi melawan penyebaran fitnah yang semakin berleluasa.
“Dengan lebih berwaspada dan bijak dalam menanggapi sebarang informasi, kita dapat membangunkan masyarakat yang lebih sejahtera dan melemahkan gerakan-gerakan yang cuba memecahbelahkan kesatuan kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/8/2024











