
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak sehingga jam 9 malam, hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat di seluruh kawasan adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Putrajaya, WP Labuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Selain itu, kawasan di Kelantan (Jeli dan Gua Musang); Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Kemaman); dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin).
“Seterusnya, kawasan Sarawak di Betong (Betong), Sarikei (Pakan dan Julau), Kapit (Song), Bintulu (Sebauh), Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.
“Sementara itu, kawasan Sabah di Pedalaman, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Ranau) dan Sandakan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.
MetMalaysia turut memaklumkan amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/8/2024











