
KUALA TERENGGANU: Tanah bris dan cuaca panas menjadikan Terengganu sangat sesuai untuk penanaman mempelam Harum Manis Terengganu yang dijenamakan sebagai Mangga King.
Sehubungan itu, Zuhari Mat dari Kampung Bari Besar, Setiu mula menanam Mangga King pada bulan Mei 2021 seluas tiga ekar.
Selepas berusia dua tahun, kini senyum beliau yang mesra dengan panggilan Pak Aziz semanis Mangga King apabila pokok mempelamnya mula mengeluarkan hasil.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim menerusi perkongsian di laman sosialnya berkata, 110 pokok yang ditanam Pak Aziz menghasilkan kira-kira 500 kilogram buah setiap musim yang dijual dengan harga RM25 sekilogram.
Menurutnya, dengan modal permulaan projek sebanyak RM8,500 serta mendapat bantuan baja, benih dan pengapuran daripada Jabatan Pertanian negeri.
Katanya, sasaran dalam masa setahun dua lagi, kebun Mangga King itu dapat mencapai hasil yang bertambah baik kira-kira tiga tan setahun.
Beliau bersama Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Dato’ Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof meninjau kebun Pak Aziz. (Foto atas)
Sementara itu, media sebelum ini Mangga King yang ditanam Pusat Pembangunan Komoditi Rhu Tapai, Setiu didapati mencapai gred premium dan tahap kemanisan sehingga 22 peratus brix.
Dr Azman berkata, tanaman yang telah bermula sejak November 2016 itu diusahakan Jabatan Pertanian negeri bagi menyelidik kesesuaian tanah bris (tanah berpasir) di kawasan itu.
Katanya, apabila melihat kejayaan Jabatan Pertanian, beliau telah mengarahkan pihak jabatan melakukan bancian di beberapa daerah yang mempunyai tanah bris dan akhirnya, menemui pokok Harum Manis Terengganu yang sudah lama ditanam oleh orang kampung. – HARAKAHDAILY 22/8/2024












