
AYER KEROH: Persidangan Antarabangsa Ekosistem Halal Malaysia (IHC) Paris 2024 telah membuka mata pemain-pemain industri di Perancis terhadap penyelidikan produk halal Malaysia.
Ketua Sekretariat dan Delegasi Malaysia ke persidangan itu, Aizuddinur Zakaria berkata, ia kerana penyelidikan terhadap kualiti halal tersebut adalah berlandaskan kajian saintifik penyelidik-penyelidik terlibat.
“Selain itu, inovator di Malaysia juga dapat memahami lebih mendalam keperluan eksport ke negara Eropah termasuk keperluan penterjemahan ke Bahasa Perancis dan komitmen kitar semula terhadap pembungkusan produk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika dihubungi semalam bagi mengulas tentang program IHC Paris 2024 yang berlangsung di Campanile Marne la Vallee Chelles Hotel, Paris, Perancis pada 13 dan 14 Ogos lepas.
Jelas beliau, persidangan tersebut diadakan dengan tujuan utamanya bagi mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi penyelidik dan saintis Malaysia untuk dipasarkan di Eropah selain daripada membina jaringan sesama komuniti bisnes di Perancis.
Tambah Aizuddinur terdapat tiga memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani ketika persidangan itu iaitu pertama MoU dalam kerjasama pelancongan Halal yang memberi keutamaan terhadap Sejarah Islam di Melaka dan Eropah di antara Serantau Muslim dan Halal Tourism Britain.
“MoU kedua ialah berkaitan latihan farmaseutikal halal diantara Universitas Gadjah Mada dan HAL Fintech Advisor; dan MoU ketiga berkaitan pemasaran produk ‘essential oil’ hasil penyelidikan saintis tempatan antara UNISZA dan Serantau Muslim bagi tujuan perubatan di kem pelarian dan Halal Medical Tourism antara UNISZA dan Halal Tourism Britain,” katanya.
Beliau juga berharap agar kesinambungan daripada persidangan itu akan membuka peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk memasuki pasaran Eropah memandangkan permintaan daripada penduduk Muslim yang semakin meningkat di benua itu.
“Permintaan tinggi terhadap produk halal ini terutamanya di Jerman, Perancis dan Itali dalam sektor makanan, pelancongan mesra Muslim dan farmaseutikal.
“Selain itu, saya juga berharap agar penerbitan ‘proceeding’ hasil kajian daripada persidangan ini juga kelak menjadi rujukan kepada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan mahupun swasta bagi menjamin kelestarian Halal Ecosystem antara dua negara,” ujarnya.
Aizuddin yang juga merupakan Pengerusi Usahawan Teknologi Hijau Selangor terlibat dalam industri perdagangan Halal di peringkat antarabangsa sejak 2014 ketika bertugas di Halal Food Authority yang bertapak di London.
Sebagai Ketua Sekretariat dan ketua delegasi dari Malaysia beliau memimpin delegasi yang terdiri daripada Serantau Muslim, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), HAL Focus Asia Research and Publication, Multimedia University dan Persatuan Usahawan Teknologi Hijau Selangor.
Dalam persidangan itu, beliau turut membentangkan satu kertas kerja yang bertajuk ‘Meeting Market Demand: A Comparative Study Of Halal Pharmaceutical Regulatory Frameworks in Malaysia and France’.
IHC Paris 2024 dianjurkan bersama Association Culturelle desa Musulmans dille de France (ACMIF) yang berpangkalan di Perancis dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universitas Gadjah Mada dan Lembaga Zakat Negeri Kedah.
Ia telah menarik 30 pembentang daripada 11 negara yang terlibat dalam persidangan ini antaranya Malaysia, Bangladesh, Thailand, Uganda, Indonesia, Argentina, United Kingdom, Thailand, Trinidad & Tobago, Poland, Pakistan dan Perancis sendiri yang sebahagiannya menyertai secara hibrid.
Lapan pembentang daripada empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, United Kingdom dan Perancis membentangkan topik berkaitan Ekosistem Halal Antarabangsa secara bersemuka.
Ia juga menyaksikan beberapa orang pembentang dari negara ini menerima penghargaan, antaranya ialah Anugerah Pembentang Terbaik yang dianugerahkan kepada Hakim Mohd Nor yang mewakili Serantau Muslim Malaysia.
Selain itu, Dr Samhani Ismail dari UniSZA Malaysia menerima Anugerah Emas Kertas Penyelidikan Terbaik manakala Dr Amalina Abdul Ghani daripada MMU Malaysia menerima Anugerah Gangsa. – HARAKAHDAILY 22/8/2024














