Sambut merdeka, jangan lupa rakyat Palestin

- Advertisement -

BALING: Semangat kemerdekaan perlu ditanam di setiap hari rakyat Malaysia terutama golongan muda agar dihargai serta dipelihara sepanjang masa.

Demikian kata Ahli Parlimen Baling, Ustaz Hassan Saad ketika merasmikan Sambutan Bulan Kemerdekaan di Sekolah Menengah Arab Diniah Islamiah (SMADI), hari ini.

Katanya lagi, kemerdekaan yang dianugerahkan Allah merupakan nikmat yang tidak ternilai khususnya kepada rakyat Malaysia.

- Advertisement -

“Malaysia dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu. Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan tahun ini kita menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-67. Ini satu nikmat dan anugerah yang tidak ternilai untuk kita semua,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ustaz Hassan turut mengingatkan hadirin akan nasib rakyat Palestin yang masih dibelenggu dengan kekejaman rejim Zionis Israel.

“Dalam kegembiraan kita menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, jangan lupa berdoa kepada Allah agar Palestin juga mencapai kemerdekaan suatu hari nanti,” tambah beliau.

Justeru pada sambutan itu, bendera Malaysia dan bendera Palestin dikibarkan beriringan sebagai tanda kebersamaan atas penderitaan rakyat Palestin.

“Walaupun Palestin jauh dipisahkan sempadan dan benua, tetapi kesatuan hati umat Islam Malaysia dan Palestin tidak akan dapat dipisahkan,” ujarnya lagi.

Justeru beliau menyeru kepada semua agar sentiasa berdoa semoga Allah memelihara negara Malaysia daripada sebarang kacau bilau, kejahatan dan perancangan musuh-musuh agama-Nya. – HARAKAHDAILY 21/8/2024

- Advertisement -