Nikmati masakan ikan Sungai Pahang sempena Muktamar PAS

Safavi Taharim
- Advertisement -

RAUB: Masakan ikan sungai yang jarang-jarang ditemui termasuk patin masak tempoyak dapat dinikmati oleh para perwakilan dan pemerhati pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-70 yang akan berlangsung di Kompleks Al Makmur, Kerdau.

- Advertisement -

Reruai yang menyediakan masakan ikan Sungai Pahang dijangka menjadi tumpuan para perwakilan dari seluruh negara sepanjang muktamar berlangsung.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Gerai Muktamar PAS ke-70 itu, Safavi Taharim, sebanyak 100 buah booth jualan bakal dibuka bermula 11 hingga 15 September biarpun pihaknya menerima permohonan lebih daripada jangkaan.

“Sambutan daripada peniaga amat memberangsangkan. Kami menerima lebih daripada 200 permohonan tetapi terpaksa ditapis. Yang berjaya cuma 100 permohonan sahaja kerana tempat terhad.

“Kita akan melancarkan karnival jualan besar-besaran yang dinamakan Kerdau Festival bagi memberi peluang kepada para peniaga mempamerkan produk-produk mereka seperti Festival Makanan Tradisional Asia, Festival Benih dan Tanaman, Festival Patin Temerloh, Festival Durian Raub, Festival Hijab, Pasar Karat dan Himpunan Motosikal Kerdau Bike Week.

“Dan sudah tentulah antara tarikan berhantu daerah Temerloh ni adalah ikan patin masak tempoyaknya dan untuk merai para penggemar patin, beberapa booth dalam kategori Festival Patin Temerloh boleh dikunjungi untuk menikmati menu ‘rare’ ikan sungai Pahang yang jarang-jarang ditemui,” ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pekerja dan Modal Insan PAS negeri.

Tambahnya, apa yang lebih menarik pada festival tersebut adalah keunikan gerai dari pelbagai kaum iaitu Cina, India dan Orang Asal serta wakil peniaga beberapa jenis makanan dari Asia dan ianya bersusaian dengan slogan PAS For All.

Menurutnya, pihak urusetia turut menyediakan kemudahan ‘supa dupa’ bagi anak-anak yang dibawa agar ada keseimbangan kepada ibu bapa yang datang untuk berbelanja di samping beberapa alternatif untuk keselesaan pengunjung.

“Gerai usahawan kali ini kita buat perubahan sedikit bagi memberi kemudahan kepada pengunjung sekiranya berlaku hujan di mana ruang pejalan kaki berbumbung disediakan agar pengunjung dapat terus berbelanja meskipun berlaku hujan.

“Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Gerai Usahawan berharap agar semua pengunjung dapat bersabar atas kesesakan lalu lintas yang mungkin tidak dapat dielakkan.

“Namun ambilah kesempatan untuk hadir kerana pelbagai acara menarik dirangka pihak urusetia sepanjang lima hari festival ini berlangsung,” ujar Setiausaha PAS Kawasan Raub itu.

Beliau secara peribadi berharap muktamar kali ini akan dibanjiri ribuan perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara bertepatan dengan cuti persekolahan dan sebagai tanda sokongan serta kebersamaan terhadap tuan rumah bagi merealisasikan hasrat PAS Teraju Pahang pada Pilihan Raya ke-16 nanti.

Pahang pernah menjadi tuan rumah Muktamar Tahunan PAS ke-65 yang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota, Kuantan pada tahun 2019. – HARAKAHDAILY 21/8/2024

- Advertisement -