NAHRIM perkenal teknologi canggih dalam penyelidikan air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), sebuah institusi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), terus mengorak langkah dalam penyelidikan dan pengurusan sumber air melalui pengenalan pelbagai teknologi canggih yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Alam Sekitar, Sains dan Perladangan (ASSP), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkongsi maklumat lawatan delegasinya ke NAHRIM yang diberi peluang untuk melihat sendiri teknologi-teknologi inovatif yang sedang dibangunkan.

Katanya, lawatan dimulakan dengan taklimat korporat daripada pihak NAHRIM, dan diteruskan dengan lawatan ke fasiliti penyelidikan.

- Advertisement -

“Saya dan rakan-rakan ahli JKPK ASSP yang lain dibawa melawat ke Inkubator Pemprosesan Air Hujan (ISPAH), Makmal Hidraulik dan Instrumentasi (MHI) dan Makmal Kualiti Air (MKA).

“Fasiliti-fasiliti penyelidikan ini memaparkan pelbagai teknologi canggih yang dibangunkan hasil daripada Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) oleh pihak NAHRIM.

“Teknologi-teknologi ini amatlah bagus untuk dipasarkan untuk tujuan komersial, dan membantu menyelesaikan masalah-masalah yang ada dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Untuk rekod, NAHRIM merupakan sebuah institut di bawah Kementerian PETRA yang berfokuskan kepada penyelidikan dan pengurusan sumber air serta hidraulik, termasuk isu banjir, hakisan pantai, dan kelestarian alam sekitar.

“Semoga lawatan JKPK ASSP kali ini dapat membantu NAHRIM, hasil daripada pandangan dan buah fikiran yang telah diberikan,” kata Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). – HARAKAHDAILY 21/8/2024

- Advertisement -