
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah buat pengurusan, kakitangan dan pelajar-pelajar Kolej Universiti TATI (TATIUC) atas pengiktirafan sebagai Kolej Universiti Terbaik dalam Pendidikan Teknikal di Malaysian Education and TVET Awards (META) 2024.
Ini susulan TATIUC berjaya mengatasi lebih 250 agensi yang dicalonkan dari seluruh negara.
“Semoga kejayaan ini memberi suntikan semangat untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik sekali gus menjadi salah satu kolej universiti yang terkemuka di persada antarabangsa.
“Tahniah!” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.
TATIUC adalah pusat pengajian tinggi swasta di Malaysia yang merupakan milik penuh Kerajaan Negeri Terengganu.
Sementara itu, TATIUC pula mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kerjasama semua pihak atas pengiktirafan itu.
Malaysia Education and TVET Awards 2024 adalah majlis penganugerahan bagi mengiktiraf usaha dan dedikasi para pemain industri di dalam bidang pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
META 2024 diadakan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 15 Ogos lalu.
Majlis ini merupakan acara yang gilang-gemilang, mengumpulkan pendidik, pentadbir, dan pihak berkepentingan yang memberikan sumbangan signifikan kepada kemajuan Pendidikan dan TVET di negara ini. – HARAKAHDAILY 21/8/2024











