
KOTA BHARU: Skuad sepak takraw negeri (Kelantan Warriors) mempertaruhkan pemain berpengalaman bagi menghadapi saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2024.
Antara muka baru yang diketengahkan termasuk dua import Thailand, Siwakorn Thanaka dan Rusdee Leerem, Muhamad Adli Abu Bakar atau dikenali sebagai Adik dan wakil Sukan Malaysia (Sukma) 2024, Muhammad Amirul Amir Mohd Alwi.
Tiga lagi pemain yang dikekalkan dalam skuad ini, Ahmad Badrie Amin Azmi, Muhamad Fakhrul Akmal Mohd Nakon dan Mohd Haikal Mohamad Jamil.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad telah memperkenalkan barisan pemain dan penaja pasukan tersebut petang ini.
Turut hadir pada majlis itu, Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Datuk Abdul Fattah Mahmood dan lain-lain kepimpinannya.
Zamakhshari berharap, gabungan pemain berpengalaman dan baharu ini diharap dapat menampilkan permainan yang berkualiti untuk dipersembahkan kepada penyokong Kelantan.
Sementara itu, Abdul Fattah berkata, bagi memastikan kejayaan pasukan, pihak Gastak telah menjalin hubungan dan kerjasama dengan beberapa pihak yang bersetuju untuk menjadi penaja.
Katanya, kejohanan bagi divisyen 1 akan bermula pada 26 hingga 30 Ogos ini bertempat di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bukit Serindit, Melaka. – HARAKAHDAILY 21/8/2024











