
KANGAR: Usaha berterusan sedang dilaksanakan untuk membangunkan potensi ekonomi dan pelancongan bersama antara negeri Perlis dan wilayah Satun, Thailand.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli telah mengadakan kunjungan hormat ke Satun bagi membincangkan pelbagai aspek kerjasama antara kedua-dua pihak.
Rombongan Menteri Besar bertolak seawal pagi dari Wang Kelian dan tiba di Dewan Bandaraya Satun untuk memulakan siri perbincangan yang bertujuan memperkukuh hubungan kedua pihak.
Antara isu utama yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut ialah usaha menaik taraf dan menambah baik kawasan sempadan di Wang Prachan dan Wang Kelian.
“Inisiatif ini diharapkan dapat meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan pelancongan antara Perlis dan Satun, memudahkan aliran barang dan perkhidmatan, serta menarik lebih ramai pelancong ke kedua-dua wilayah.
“Selain itu, perbincangan juga turut memberi tumpuan kepada perancangan pembukaan jalan laut yang akan menghubungkan Jeti Tammalang di Satun dengan Kuala Perlis.
“Laluan ini dijangka akan merancakkan lagi industri pelancongan di kedua-dua wilayah serta membuka peluang ekonomi baharu bagi penduduk setempat,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, Mohd Shukri turut mengambil peluang untuk mempromosikan kluster pelancongan Perlis sempena Tahun Melawat Perlis 2024.
Beliau juga memberi penekanan terhadap kerjasama dalam memastikan kestabilan keselamatan di sepanjang sempadan antara kedua-dua negeri sebagai baik dan harmoni antara rakyat Perlis dan Satun.
Beliau berharap pelbagai manfaat akan dapat dicapai dalam tempoh pentadbiran beliau, terutama dalam memperkukuhkan hubungan ekonomi dan sosial antara kedua-dua wilayah.
Mohd Shukri turut menekankan kepentingan hubungan baik antara Perlis dan Satun dalam usaha untuk terus memperkukuh kerjasama dan memperluaskan peluang manfaat bersama. – HARAKAHDAILY 20/8/2024















