Lori kontena rempuh rumah, penghuni selamat

- Advertisement -

KUBANG PASU: Sebuah rumah di Taman Desa Bayan Emas, Bukit Kayu Hitam, di sini mengalami kerosakan teruk apabila dirempuh sebuah lori kontena, semalam.

- Advertisement -

Rempuhan itu mengakibatkan kerosakan struktur bahagian depan rumah berkenaan, selain sebuah kereta dan motosikal milik mangsa turut mengalami kerosakan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, hasil siasatan awal mendapati, lori kontena berkenaan dalam perjalanan dari sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam.

Ia dikatakan akan ke Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, sebelum merempuh rumah terbabit yang berada berdekatan simpang.

Jelasnya lagi, menurut pemandu lori warga Thailand itu, beliau gagal memberhentikan kenderaannya kerana pedal minyak tersangkut di lantai kenderaan dan mengakibatkan lori kontena tersebut tidak dapat diberhentikan.

“Pemandu warga Thailand itu akan ditahan dan pihak polis akan membuat siasat lanjut mengenai kejadian ini,” kata beliau.

Tambahnya, ketika kejadian penghuni rumah berada di dalam rumah terbabit, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandu lori berusia 59 tahun itu, mengalami kecederaan di kepala dan mata, sementara ujian urin ke atasnya didapati negatif.

Menurut Rodzi lagi, kes siasat kejadian itu mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pada perkembangan yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan Negeri, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad sempat menemui mangsa kejadian di kediamannya, petang semalam.

Mangsa Shafiqa Shafie, 37, berkata, beliau ketika itu yang sedang berbaring di dalam bilik sempat berlari keluar apabila mendengar bunyi kenderaan agak kuat kira-kira jam 2:00 petang.

Ketika kejadian, suaminya, Mohd Shahrul Md Wazir, 35, yang juga pemandu lori, keluar bekerja.

Berikutan itu, Halimaton yang juga ADUN Bukit Kayu Hitam, mengharapkan mereka terlibat bersabar dengan ujian dan kejadian tidak diduga ini. – HARAKAHDAILY 20/8/2024

- Advertisement -