Diskusi Ilmu tingkat kefahaman pentadbiran Islam

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Aktiviti Diskusi Ilmu anjuran Pejabat Menteri Besar Terengganu, yang sudah banyak dibaca buku Fiqh Siasah Khulafa’ Al-Rasyidin: Khalifah Umar RA hasil karya Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mendapat sambutan hangat daripada semua kakitangan terlibat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan kesyukuran atas kejayaan program yang menjadi platform untuk meningkatkan kefahaman mengenai urusan pentadbiran dan kenegaraan.

Kata beliau, pada sesi lepas, semua kakitangan terlibat telah khatam membincangkan buku Fiqh Siasah Khulafa’ Al-Rasyidin: Khalifah Abu Bakar RA.

- Advertisement -

“Banyak panduan mengenai urusan pentadbiran dan kenegaraan dapat diambil sebagai intipati perbincangan bersama Naqib Tetap, Pegawai Khas (Hal Ehwal Agama) Pejabat Menteri Besar, Al-Fadhil Ustaz Nik Muhamad Nasri Nik Malek,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, paling menarik perhatian adalah kehadiran Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Pejabat Menteri Besar, Dr. Balachandran, yang merupakan ahli usrah yang paling aktif.

“Walaupun sibuk dengan pelbagai tugasan, beliau tetap menghadiri sesi Diskusi Ilmu, yang menurut beliau, menjadi ubat darah tinggi,” katanya.

Samsuri juga mengucapkan syabas kepada semua kakitangan yang istiqamah dengan program bulanan itu dan berharap agar usaha meningkatkan keilmuan dan kefahaman dapat diteruskan di semua peringkat dalam pentadbiran negeri. –  HARAKAHDAILY 20/8/2024

- Advertisement -