Tukun untuk nelayan pantai, bagaimana nelayan laut dalam?

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Tukun untuk nelayan pantai. Mana usaha untuk bantu nelayan laut dalam?”

- Advertisement -

Itulah persoalan yang dicetuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bagaimana rutin pergerakan hayat hidupan marin.

“Sebelum membuat kesimpulan mudah kononnya kerajaan negeri tak bantu nelayan laut dalam, mari kita faham akan bagaimana rutin pergerakan hayat hidupan marin.

Beliau memberi contoh penyu yang boleh berenang merentasi sempadan beberapa negara.

“Tapi bila nak bertelur, ia akan naik ke pantai. Tak ada penyu yang bertelur di tengah lautan.

“Ikan spesies laut dalam seperti ikan merah, kerapu, tenggiri, mandi abu, jenahak dan sebagainya memang jenis ikan yang biasa ditangkap oleh nelayan laut dalam walaupun spesies ini juga selalu menjadi rezeki nelayan pantai,” ujarnya menerusi catatan di laman sosialnya.

Beliau menjelaskan, apabila musim bertelur terutama menjelang bulan Oktober, November dan Disember, maka kawasan pesisir pantai dan muara sungai akan menjadi tempat bagi induk ikan yang tersenarai di atas untuk bertelur dan bukannya di laut dalam.

Justeru, katanya sebab itulah Jabatan Perikanan pernah mengeluarkan larangan kepada pencari benih ikan kerapu supaya memberhentikan aktiviti mereka terutama di kawasan tepi pantai dan muara sungai.

Ini, ujarnya kerana perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Perikanan 1996 bagi tujuan pemeliharaan sumber.

Menurutnya, melabuhkan tukun di kawasan pesisir pantai sebenarnya menyediakan tempat membiak dan perlindungan bagi induk ikan laut dalam untuk melepaskan telur.

Katanya, ia secara langsung sebenarnya membantu memperkayakan sumber perikanan laut dalam.

“Sebagaimana kita manusia lahir di kampung tapi akhirnya tempat menetap dan mencari rezeki bertebaran di serata muka bumi Allah,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.

Tambahnya, begitu juga ikan, walaupun ibunya bertelur di pesisir pantai, ia menetas di tepi pantai akhirnya berkelana hidup di laut dalam jua.

“Baru hurai hal tukun, tak berita lagi bab lain yang kita buat untuk bantu nelayan laut dalam,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 19/8/2024

- Advertisement -