
MUAR: Perjuangan agenda politik Melayu-Islam tidak akan sempurna selagi tidak berjaya mewujudkan sebuah penyatuan dalam kalangan semua parti politik Melayu-Islam di dalam negara ini.
ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata, semua parti politik Melayu-Islam termasuk yang ada di dalam Pakatan Harapan (PH) harus sama-sama dalam satu gabungan kecuali DAP.
Menurutnya ramai pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional sendiri yang sangat merindui saat penggabungan dua parti politik Melayu terbesar Malaysia iaitu PAS dan Umno sewaktu wujudnya Muafakat Nasional (MN).
“Ketika Muafakat Nasional 2019 orang Melayu bergabung habis. Semua pilihan raya kecil menang. Itu kekuatan berpegang teguh dengan tali Allah dan tidak berpecah belah.
“Tetapi dalam pada berpadu ada seorang hamba Allah itu dia ada matlamat lain. Dia nakkan perpaduan ini dengan syarat ‘barang aku itu kau tutupkan’,” katanya.
Jelas beliau, pemimpin itu ada matlamat peribadi untuk menyelamatkan kes-kes mahkamahnya dengan menjadikan penyatuan itu seolah-olah sebagai bahan tebusan.
“Kalau dah 47 kes dalam mahkamah prima facie, maksudnya terbukti boleh diteruskan dan ada tindakan boleh diambil, bukan hak kita nak pergi tutupkan dosa dan kesalahan dia. Bila dia tak dapat apa dia nak, mulalah dia berdagang dan berjual beli,” katanya.
Malah katanya, pada masa itu pemimpin tersebut sendiri mengungkapkan ‘No Anwar, No DAP’ namun rupanya di belakang, pemimpin itu membuat pakatan sulit dengan Anwar dan DAP.
Kerana itu, menurut beliau, tidak ada beza sekarang ini kepimpinan tertinggi Umno dengan orang DAP pada kerana mereka sudah bersama-sama seperti dalam pepatah Inggeris kata ‘burung yang sama bulu, terbang bersama’.
“Jadi kalau dia dah pilih kawan dia macam tu, begitulah dia. Mereka ini sanggup membelakangkan kita yang ikhlas bersama-sama dengan mereka ketika 2019 nak tubuhkan Muafakat Nasional.
“Malah kerana Muafakat Nasional dengan linangan air mata saya bagi Kerajaan Negeri Melaka tu pada Umno. Tetapi tolong Umno seolah-olah melepaskan anjing yang tersepit,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam program Ceramah Perdana Isu Semasa sempena Karnival Muo Merdeka anjuran PAS Kawasan Muar yang berlangsung di PASTI Hadi, Parit Tarom, di sini malam kelmarin.
Kata Jailani lagi, beliau tidak mengatakan bahawa pihaknya sentiasa betul, namun tindakan pimpinan Umno pada masa ini yang mengkhianati dan merosakkan perpaduan Melayu mewujudkan kemarahan dalam kalangan umat itu.
“Merosakkan perpaduan Melayu dalam Malaysia. Merosakkan kepercayaan kita, dalam kalangan kita, umat Melayu, umat Islam, umat Pribumi. Kita masih berharap. Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih berharap lagi, berhati besar lagi.
“Sudah (beliau) dihina, dicakap macam-macam, difitnah macam-macam, tetapi Tuan Guru kata apa? ‘Orang Melayu kena bersatu, baik Umno, baik PAS, tak kira siapa pun asal Melayu dan Islam,” ujarnya.
Turut berucap dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Roslan Nikmat serta ADUN Maharani yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Muar, Abdul Aziz Talib. – HARAKAHDAILY 19/8/2024











