Masalah penduduk terbabit projek jalan perlu dipikul ADUN baru

- Advertisement -

GUA MUSANG: Calon Perikatan Nasional Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri berharap wakil rakyat baharu DUN terbabit menyelesaikan masalah rumah penduduk yang terbabit projek jalan di Bertam Lama.

- Advertisement -

Mohd Rizwadi Ismail berkata, tapak lot kediaman penduduk terbabit sudah dikenal pasti kerajaan negeri dan mereka akan dipindahkan ke lokasi terbabit.

Katanya, sehingga sekarang 20 rumah diroboh termasuk tadika yang dibina di kawasan tanah rizab dan sungai.

“Kerajaan negeri sudah menyediakan lot untuk penduduk terbabit dan saya berharap wakil rakyat baharu Nenggiri menyelesaikan pula masalah rumah mereka.

“Ini kerana enam daripada 20 penduduk yang terlibat dengan projek jalan tidak mampu membina rumah sendiri dan sekarang mereka menyewa di tempat lain,” katanya ketika ditemui di Bertam Lama semalam.

Biarpun tidak dinobatkan sebagai wakil rakyat, Rizwadi tetap dikunjungi penduduk tempatan dan petugas pilihan raya dari pelbagai tempat termasuk Tumpat dan Pahang.

Malah, rumahnya tidak sunyi kerana orang ramai datang memberi sokongan bagi meneruskan perjuangan biarpun gagal mempertahankan DUN Nenggiri pada PRK Sabtu lepas.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sebanyak 27 rumah terbabit dengan projek pembinana jalan di Bertam lama.

Katanya, 20 penduduk beri keutamaan berpindah ke penempatan baharu tersebut. Kerajaan negeri akan memproses pemilikan tanah dengan segera.

“Daripada jumlah tersebut sembilan penduduk telah membuka fail di Pejabat Tanah, manakala lima lagi penduduk berpindah ke rumah sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Melayu.

“Enam lagi penduduk dalam perkiraan selanjutnya memandangkan mereka tidak mampu membina rumah sendiri,” katanya.

Difahamkan mertua ADUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fitri turut mendapat ihsan daripada kerajaan negeri mendapat lot baharu.

Rizwadi juga berkata, kerajaan negeri sudah melaksanakan tanggungjawab menyediakan lot untuk penduduk terbabit, dan sekarang tugas wakil rakyat pula menyediakan rumah untuk penduduk yang daif. – HARAKAHDAILY 19/8/2024

- Advertisement -