Galas tanggungjawab bersama untuk keharmonian negara

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Program Sesi Libat Urus Mediator Komuniti Bersama Agensi (MK Open Day) yang diadakan di Pusat Beli-belah Kuala Terengganu City Centre (KTCC) dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan kestabilan dan keharmonian negara.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, program itu selari dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh perpaduan masyarakat dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.

“Sebagai Exco Perpaduan, saya amat berbesar hati untuk terlibat dalam program seperti ini. Dalam suasana yang semakin kompleks dengan pelbagai cabaran, peranan mediator komuniti menjadi asas penting untuk memastikan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat kita,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, hari ini isu mengenai perpaduan seperti isu 3R (royalty, religion, race) sering dimainkan oleh pihak-pihak tertentu sama ada di media sosial atau media massa.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak agar menggalas tanggungjawab secara bersama untuk memastikan keharmonian negara dapat dikekalkan,” katanya.

Menurutnya, penerimaan terhadap kepelbagaian budaya dan etnik dalam masyarakat juga perlu dilihat sebagai aset yang boleh menggalakkan interaksi sosial yang positif.

Dalam konteks ini, perkhidmatan mediator komuniti memainkan peranan penting dalam menyelesaikan konflik di peringkat akar umbi secara harmoni.

“Mediator komuniti ialah seseorang yang berperanan memberi perkhidmatan mediasi secara sukarela kepada pihak yang memerlukan.

“Peranan mediator komuniti dalam membantu pihak-pihak yang bertelingkah untuk bekerjasama bagi mencari jalan penyelesaian secara damai perlu diberi pujian.

“Mediator komuniti bukan sahaja menjadi agen perpaduan tetapi juga tunjang utama dalam merealisasikan aspirasi negara,” katanya.

Katanya lagi, dimaklumkan bahawa terdapat seramai 17 orang ahli mediator komuniti di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Terengganu yang telah ditauliahkan.

“Tahniah kepada semua ahli mediator komuniti yang terdiri daripada pegawai jabatan dan komuniti khususnya di kalangan warga kawasan rukun tetangga (krt) seluruh daerah di Negeri Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, sesi libat urus yang dilaksanakan pada hari ini merupakan medium yang penting bagi penyatuan komuniti pelbagai konflik bukan sahaja antara kaum malah dari pelbagai latar belakang ideologi dan taraf hidup.

“Saya amat berterima kasih kepada jabatan perpaduan kerana telah mengadakan inisiatif seperti ini untuk memastikan isu-isu komuniti dapat ditangani dengan lebih cepat, tidak memerlukan kos yang tinggi serta dapat memelihara keharmonian dalam masyarakat.

“Saya difahamkan juga terdapat pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh JPNIN untuk mengangkat mediator komuniti ke satu tahap yang lebih cemerlang dan membanggakan seperti melaksanakan konvensyen mediasi komuniti pada februari 2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Selain itu, latihan secara intensif telah dirangka untuk dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran dan kompetensi mediator komuniti.

“Harapan saya agar mediator komuniti dapat memainkan peranan yang sangat penting, terutamanya dalam konteks penyelesaian isu-isu yang melibatkan jabatan dan agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, mediator berfungsi sebagai penghubung yang neutral dan berintegriti untuk menjelaskan situasi sekiranya timbul konflik antara masyarakat dan pihak kerajaan, sekali gus menyampaikan kebimbangan masyarakat, serta mencari jalan penyelesaian yang adil dan memuaskan semua pihak.

“Peranan ini adalah kritikal dalam memastikan kebajikan masyarakat terjaga tanpa mengorbankan kepentingan awam.

“Justeru, saya juga menyeru kepada semua agensi kerajaan di Terengganu ini agar dapat memberikan kerjasama dalam usaha JPNIN untuk mempromosikan lagi peranan mediator agar lebih ramai yang mengetahui peranan dan fungsi mediator komuniti itu sendiri.

“Kepada mediator komuniti, semoga tuan-tuan dan puan-puan dapat menjalankan tugas mereka dengan dedikasi tinggi dan sentiasa siap untuk menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/8/2024

- Advertisement -