Masalah banjir di Ladang Mary belum selesai

Nurul Syazwani Noh
- Advertisement -

KUALA SELANGOR: Sebanyak enam buah rumah dan satu unit kedai berlaku banjir setiap kali hujan lebat di Ladang Mary, Bestari Jaya, di sini, akibat masalah perparitan yang tidak diselenggara.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh, mendesak pihak bertanggungjawab agar segera bertindak untuk mengatasi permasalahan isu itu.

“Saya amat kecewa dengan keadaan di Ladang Mary yang sudah terlalu lama diabaikan. Isu pendidikan yang terabai, jalan raya yang rosak teruk dan sistem perparitan yang tidak terurus.

“Hal ini jelas menunjukkan kelemahan dalam pengurusan pihak Ladang Tagar Properties. Ini bukan sekadar masalah infrastruktur tetapi isu asas yang akan memberi kesan besar kepada kehidupan harian penduduk,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, tadi.

Nurul yang juga Ketua Penerangan Srikandi Bersatu berkata, beliau amat kecewa terhadap pihak yang seharusnya bertanggungjawab atas isu itu kerana ia berlarutan sejak Januari lalu.

“Rakyat di sini tidak boleh terus menanggung kesan dari pengabaian ini,” tegasnya.

Terdahulu, penduduk di kawasan itu mengalami permasalahan yang dihadapi sejak 20 tahun lalu termasuk jalan daif sejauh 18 kilometer, perumahan uzur serta masalah perparitan dan banjir lumpur. – HARAKAHDAILY 18/8/2024

- Advertisement -