Bantu mantapkan sistem sokongan keluarga

- Advertisement -

SUNGAI BULOH: Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga (LPIKK) PAS Pusat telah merancang pelbagai usaha dalam menjayakan teras utama untuk melahirkan pasangan keluarga yang sejahtera.

Pengerusi LPIKK PAS Pusat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, selain itu pihaknya juga akan turut berusaha membantu membina sistem ekonomi yang mantap dalam sebuah keluarga.

“Kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, ada keluarga yang mempunyai ekonomi yang mantap dan ada yang kurang mantap.

“Sebab itu kita hendak melahirkan sistem sokongan keluarga,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan Hari Keluarga PAS Wilayah Persekutuan di Riyadh Restu, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu menegaskan, program LPIKK bukan sahaja mahu menjadikan keluarga sejahtera, tetapi membanyakkan majlis ilmu serta melahirkan lelaki qawwam dan isteri-isteri solehah.

Selama ini kata beliau, pimpinan dan Ahli Jawatankuasa hanya mengenali sesama sendiri tanpa berusaha mengetahui anak-anak pimpinan.

Katanya, inilah perkara sangat membimbangkan apabila berlaku anak pimpinan yang menyokong dan menjadi ahli kepada parti lain.

“Ini sangat membimbangkan saya, janganlah jadi lagi lagi jemaah kita. Jadi, ini adalah salah satu tujuan kita mengadakan Hari Keluarga,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama ahli PAS Wilayah Persekutuan yang bertungkus lumus menjayakan program Hari Keluarga.

Sebelum ini, Hari Keluarga PAS Pusat 2024 telah berlangsung selama dua hari di mana antara negeri yang melaksanakannya ialah Perak, Johor, Pulau Pinang dan Perlis.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya mengingatkan ahli PAS Wilayah bahawa, tautan hati pada program ini bukan sekadar di dunia, tetapi sampai di akhirat.

Katanya, binalah ukhwah sampai akhirat dan inilah usrah perjuangan dan nilai ikatan sesama ahli.

“Ukhwah yang kita bina akan menambah kekuatan PAS Wilayah Persekutuan. Perjuangan kita sentiasa menang iaitu kemenangan kita sentiasa istiqamah,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/8/2024

- Advertisement -
- Advertisement -