Nenggiri: Iringi calon PN dengan motosikal lebih mudah

- Advertisement -

GUA MUSANG: Yang Dipertua (YDP) PAS Gua Musang, Azman Ahmad mengiringi pergerakan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK DUN Nenggiri dengan menungang motosikal.

- Advertisement -

Beliau bersama tiga lagi pemuda dari Chiku 3 menunggang motosikal jenis Honda RSX150 dan Yamaha Y16ZR bagi memudahkan mengiringi Mohd Rizwadi Ismail menemui pengundi di setiap pusat mengundi di Nenggiri.

Katanya beliau menunggang motosikal tersebut dari Chiku 3 ke Bertam Lama awal pagi tadi bagi mengiringi pergerakan calon ke tempat mengundi di Tadika Sri Bakawali.

“Menunggang motosikal lebih mudah dan melancarkan pergerakan mengiring calon memandangkan banyak jalan di DUN Nenggiri agak sempit dan belaku kesesakan berhampiran Pusat Mengundi.

“Saya keluar pagi tadi dari rumah di Chiku 3 ke rumah calon di Bertam Lama sebelum Ustaz Wadi keluar mengundi jam 8 pagi tadi,” katanya.

Selain itu terdapat ramai pemuda PAS yang menunggang motosikal dari pelbagai tempat meninjau tempat mengundi di Nenggiri hari ini.

Ada antara mereka memakai baju hijau bertulis ARC menunggang pelbagai jenis motosikal meronda kawasan mengundi di DUN Nenggiri sambil mengibar bendera bulan.

Mohamad dari Kubang Kerian datang bersama empat lagi rakan semalam meronda kawasan pilihan raya pagi tadi sebagai sokongan kepada calon PAS.

“Kami akan kembali ke Kota Bharu tengah hari ini memandangkan ada rakan mempunyai urusan di rumah dan bimbang hujan pada sebelah petang,” katanya ketika ditemui.

Malam tadi ada beberapa kumpulan anak muda yang juga menunggang motosikal bermalam di Masjid Hijau Renok bagi mengikuti program munajat dan solat hajat.

Mereka tidur di masjid tersebut beramai-ramai bersama petugas daripada pelbagai tempat bagi membantu gerak kerja kempen PN di Nenggiri.

Pada tadi mereka berkonvoi beramai-ramai ke lokasi tempat mengundi selepas bersarapan di sebuah kedai berhampiran simpang tiga Gua Musang-Kuala Krai-Limau Kasturi. – HARAKAHDAILY 17/8/2024

- Advertisement -