
GUA MUSANG: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail tiba di Pusat Mengundi di Tadika Sri Bakawali Bertam Lama dengan diiringi isterinya Che Mariam Che Noh kira-kira jam 8.40 pagi.
Beliau yang menaiki kenderaan pacuan empat roda diringi beberapa kenderaan petugas pilihan raya PAS Tumpat dan tenaga pembantu dari Kedah.
Kehadirannya disambut laungan takbir petugas PAS yang berada di kawasan tersebut.
Pusat mengundi tersebut terletak agak terpencil agak jauh dari rumah penduduk. Malah laluan ke pusat pengundian tersebut merupakan jalan mati.
Suasana di tempat pengudian tersebut masih agak lenggang di mana pengundi belum ramai keluar mengundi.
Kawasan tersebut dikelilingi bukit dan terdapat dusun durian dan kebun getah.
Pusat mengundi dibuka jam 8.00 pagi dikawal oleh anggota pasukan keselamatan.
Pusat mengundi lain termasuk di Limau Kasturi dan Jeram Tekoh juga agak lengang sebelah pagi.
Hujan lebat melanda kebanyakan tempat di DUN Nenggiri petang semalam sehingga malam tadi.
Sebanyak 20 pusat mengundi dengan 46 saluran dibuka bermula jam 8 pagi untuk proses pengundian dan ditutup secara berperingkat antara jam 2 dan 6 petang.
Seramai 20,259 pengundi akan memilih wakil rakyat baharu pada PRK DUN Nenggiri ini.
Menurut statistik SPR, 14 anggota polis mengundi secara pos di mana keseluruhan 43 kertas undi pos sudah dikeluarkan pada 5 Ogos lalu.
PRK ini diadakan susulan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong pada 19 Jun lalu.
Ini berikutan penyandang, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan daripada keahlian BERSATU pada 13 Jun. – HARAKAHDAILY 17/8/2024











