
GUA MUSANG: Pada era 1990-an banyak program yang dianjur kerajaan negeri agak sukar diterima masyarakat Orang Asli kerana ada dalam kalangan mereka menganggap bertentangan dengan normal kehidupan mereka.
Penghulu Orang Asli DUN Galas, Jumat Abak berkata, keadaan berbeza sekarang di mana Orang Asli menunjukkan penerimaan terhadap program kebajikan dilaksanakan kerajaan negeri.
Katanya sekarang sebahagian besar mereka sudah berubah sehingga ramai datang menemuinya memohon bantuan kebajikan yang ditawarkan kerajaan negeri.
“Dahulu ada setengah tidak berminat, antaranya Skim Kifaalah warga emas apabila nak daftar mereka tak mahu.
“Tetapi akhir-akhir ini mereka mulai faham dan datang mengisi borang sehingga ada 30 orang datang setiap hari,” katanya pada slot Pertahan Nenggiri bersama masyarakat Orang Asli disiarkan Facebook Kelantan TV di hari ini.
Jumat juga berkata, kerajaan negeri mengamalkan konsep terbuka bagi membantu masyarakat Orang Asli termasuk menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Menurutnya hubungan kerajaan negeri dengan JAKOA terjalin erat di mana tanah yang diwarta kepada Orang Asli di Kuala Betis ditanam kelapa sawit bagi manfaat mereka. – HARAKAHDAILY 15/8/2024











