
KUALA LUMPUR: “Sedang kami berbincang tiba-tiba kedengaran bunyi hentaman seperti satu pelanggaran telah berlaku, sejurus itu juga terdengar seseorang menjerit ‘hah berlaku pulak kemalangan…’.”
Demikian satu catatan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Semantan, Hassanuddin Salim menerusi laman Facebook beliau.
Tulisan itu susulan kemalangan yang sering berlaku di jalan Temerloh-Jerantut, hadapan Masjid Kampung Raja Songsang.
Menceritakan kejadian itu, ujarnya usai solat Zohor di masjid itu selepas selesai pengebumian jenazah mangsa kemalangan semalam, beliau dan beberapa orang sahabat duduk sekejap berbincang antaranya berkaitan kekerapan berlakunya kemalangan di kawasan itu.
Katanya, mereka bergegas ke lokasi kejadian setelah mendengar jeritan itu, didapati berlaku kemalangan antara sebuah motosikal yang dipandu seorang pelajar Kolej Vokesional Sanggang yang dalam perjalanan balik dengan sebuah kereta yang keluar dari arah sebuah restoran dan cuba berpatah untuk masuk ke simpang masjid.
“Menurut pemandu kereta tersebut beliau hendak singgah di masjid berkenaan untuk solat Zohor,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.
Beliau memberithau, pejabatnya juga menerima banyak aduan dan pandangan berkaitan perkara itu.
Menurutnya, daripada pemerhatian beliau ada beberapa keadaan yang memerlukan pihak-pihak berkenaan mengambil perhatian dan bertindak membaiki keadaan jalan raya di kawasan itu bagi mengurangkan berlakunya kemalangan.
Katanya, kenderaan dari kedua-dua arah, Temerloh ke Jerantut atau sebaliknya memecut laju di kawasan itu.
Di samping itu, tambahnya, terdapat banyak simpang keluar masuk di situ iaitu simpang Masjid Kampung. Raja, simpang Kampung Lompat, simpang masuk ke Restoran Go Bang dan simpang masuk ke Maahad Tahfiz Faqeh.
Selain itu, katanya pergerakan kereta keluar masuk dari simpang-simpang tersebut sangat aktif kerana terdapat banyak aktiviti di masjid, surau, maahad tahfiz dan restoran.
Menurutnya lagi, lebar jalan susur bagi kenderaan yang ingin meneruskan perjalanan di simpang Kampung. Lompat agak sempit terutama kepada lori-lori besar.
“Simpang masuk dan keluar Restoran Go Bang keadaannya sepert tidak begitu sesuai di kawasan tersebut yang sentiasa sibuk dengan kenderaan yang lalu lalang dan dipandu dengan laju,” ujarnya.
Pada waktu malam pula, kata beliau kawasan itu tidak mempunyai lampu jalan yang juga boleh menjadi sebab kemalangan berlaku.
“Insya-Allah pihak kami akan berusaha membawa perkara ini kepada pihak-pihak yang berkenaan bagi mengatasi masalah ini dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di kawasan terbabit,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 14/8/2024











