
KUALA LUMPUR: Penduduk Malaysia pada suku tahun kedua 2024 dianggarkan 34.1 juta berbanding suku tahun kedua 2023 (33.4 juta) iaitu peningkatan sebanyak 1.9 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah penduduk terdiri daripada 30.7 juta (90.0 peratus) warganegara dan 3.4 juta (10.0 peratus ) bukan warganegara.
Menurutnya, penduduk lelaki meningkat kepada 17.9 juta daripada 17.5 juta pada suku tahun kedua 2023 dan wanita meningkat kepada 16.2 juta daripada 15.9 juta dalam tempoh yang sama.
Katanya, nisbah jantina keseluruhan penduduk ialah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan manakala nisbah jantina bagi warganegara ialah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
“Penduduk umur muda (0-14 tahun) kekal tidak berubah pada 7.6 juta,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, ujarnya komposisi penduduk umur bekerja (15-64 tahun) dan penduduk tua (65 tahun dan lebih) masing-masing meningkat daripada 23.3 juta dan 2.5 juta kepada 23.9 juta dan 2.6 juta pada suku kedua 2024.
Menurutnya lagi, Melayu menyumbang 58.1 peratus (17.8 juta) daripada jumlah penduduk pada suku tahun kedua 2024 (ST2 2023: 17.6 juta).
Tam ahnya, penduduk etnik Cina dan India masing-masing menurun kepada 22.4 peratus dan 6.5 peratus berbanding 22.6 peratus dan 6.6 peratus, sementara bumiputera lain meningkat kepada 12.3 peratus berbanding 12.2 peratus pada tempoh yang sama.
“Bumiputera Sabah menyumbang 56.6 peratus daripada Bumiputera Lain yang terdiri daripada Kadazan/Dusun (31.7 peratus), Bajau (26.5 peratus), Murut (5.1 peratus) dan Bumiputera Sabah lain (36.7 peratus),” jelasnya.
Sementara itu, kata beliau Bumiputera Sarawak (32.4 peratus) terdiri daripada Iban (59.1 peratus), Bidayuh (17.1 C), Melanau (10.6 peratus) dan Bumiputera Sarawak lain (13.2 peratus).

Beliau juga menyatakan sebanyak 48,460 kematian telah direkodkan pada suku tahun kedua 2024, penurunan sebanyak 5.4 peratus berbanding suku tahun kedua 2023 (51,234 kematian).
Katanya, bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,510 manakala 20,950 kematian bagi perempuan. Nisbah jantina bagi kematian ialah 131 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Pada tempoh masa yang sama, ujarnya Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,459 kematian (15.4 peratus) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 65 kematian (0.1 peratus).
Katanya lagi, kumpulan umur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi iaitu 34,043 kematian (70.2 peratus), diikuti umur 41-59 tahun (20 peratus), umur 15-40 tahun (7.6 peratus) dan umur 0-14 tahun (2.1 peratus).
Tambahnya, pada suku tahun kedua 2024, Melayu menyumbang 52.7 peratus (25,540 kematian) daripada jumlah kematian (ST2 2023: 52.8 peratus).
Beliau berkata, kematian bagi etnik Cina dan India masing-masing menurun kepada 26.0 peratus dan 8.1 peratus, berbanding 26.1 peratus dan 8.2 peratus pada suku kedua 2023, sementara bumiputera lain meningkat kepada 10.5 peratus berbanding 10.2 peratus pada tempoh yang sama tahun 2023.
Jelasnya, Bumiputera Sabah menyumbang 51.6 peratus daripada bumiputera lain yang terdiri daripada Kadazan/Dusun (38.7 peratus), Bajau (26.9 peratus), Murut (5.7 peratus) dan Bumiputera Sabah lain (28.7 peratus).
Sementara itu, ujarnya Bumiputera Sarawak (42.1 peratus) terdiri daripada Iban (60.4 peratus), Bidayuh (15.3 peratus), Melanau (14.7 peratus) dan Bumiputera Sarawak lain (9.6 peratus). – HARAKAHDAILY 13/8/2024











