
KANGAR: Seramai 40 pelajar dari sekolah-sekolah angkat Jabatan Perhutanan Negeri Perlis menyertai program Eksplorasi Rimba dan Gua 2024 yang berlangsung di Rimba Herba Perlis, di sini bermula hari ini.
Program tersebut dianjurkan oleh Bursa Malaysia dengan kerjasama Roots & Shoots Malaysia, Persatuan Penjelajahan Alam Negeri Perlis (PNX) dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.
Tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendidikan awal kepada pelajar terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi.
Pengerusi PNX, Syamil Abd Rahman memaklumkan bahawa pelajar-pelajar dibahagikan kepada empat kumpulan dan dibawa melalui denai interpretasi rimba.
“Mereka mempelajari pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar dengan bimbingan guru pengiring masing-masing. Program ini juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosial Bursa Malaysia.
“Ia dalam usaha mendidik pelajar mengenai keindahan dan kepentingan alam semula jadi, khususnya di negeri Perlis,” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.
Program berakhir pada pukul 1 petang dan akan diteruskan esok, 14 Ogos, dengan penyertaan pelajar sekolah rendah dan menengah di Gua Kelam.
Sekolah-sekolah angkat Jabatan Perhutanan Negeri Perlis yang terlibat hari ini termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kota, SK Padang Melangit, SK Kuala Perlis, SK Dato Kayaman, SK Santan, SK Behor Empiang, SK Paya, SK Salang dan SK Abi.
Untuk aktiviti esok di Gua Kelam, sekolah-sekolah terlibat adalah SK Chuping, SK Oran, SK Lubuk Sireh, SRK (Cina) Kong Hwa, SK Titi Tinggi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi, SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah, SMK Mata Ayer, SMK Putra dan SM (S) Tuanku Syed Putra. – HARAKAHDAILY 13/8/2024














