Ahli-ahli PAS Perlis diseru mencarum SkimPAS

- Advertisement -

KANGAR: Penyelaras SkimPAS Negeri Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil, menyeru semua ahli PAS di negeri ini untuk merebut peluang menyertai SkimPAS, sebuah inisiatif kebajikan yang dirangka oleh Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial (LKKS) PAS Pusat.

- Advertisement -

SkimPAS yang ditawarkan dengan caruman sebanyak RM55 setahun atau RM4.58 sebulan, menyediakan pelbagai faedah kepada ahli termasuk perlindungan kewangan bagi kes kematian, hilang upaya, dan kos perubatan.

Menurut Asrul, skim itu juga menyumbang kepada kerja-kerja kebajikan PAS di peringkat Pusat dan Kawasan.

“Skim ini bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga ahli yang ditimpa musibah, tetapi juga menjadi satu bentuk infaq fisabilillah yang memberikan peluang untuk ahli saling membantu dan memperoleh ganjaran di akhirat,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa untuk menyertai SkimPAS, seseorang perlu menjadi ahli PAS atau Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) terlebih dahulu.

“Skim ini dilihat sebagai langkah proaktif PAS dalam menjaga kebajikan ahli serta memperkukuhkan semangat persaudaraan dalam kalangan ahli melalui nilai infaq dan saling membantu,” ujarnya lagi.

Namun, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap prestasi penyertaan SkimPAS di Perlis yang masih rendah.

Berdasarkan laporan pendaftaran SkimPAS dari Januari hingga Julai 2024, hanya 189 ahli di Perlis yang mendaftar, menjadikan Perlis antara negeri dengan penyertaan paling rendah pada kadar 1.15 peratus.

“Walaupun prestasi pendaftaran masih minima, saya yakin dengan usaha berterusan, lebih ramai ahli akan menyertai SkimPAS dan manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai orang,” tambahnya.

Daripada jumlah tersebut, kawasan Kangar mencatatkan penyertaan tertinggi di Perlis dengan 98 ahli, diikuti Padang Besar dengan 61 ahli dan Arau dengan hanya 30 ahli.

Ustaz Asrul berharap lebih ramai ahli akan mengambil peluang ini untuk memperkukuhkan lagi kebajikan dan perpaduan dalam kalangan ahli PAS di Perlis. – HARAKAHDAILY 13/8/2024

- Advertisement -