Shah Firdaus akan beri pencapaian lebih cemerlang – Azizulhasni

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Dato’ Azizulhasni Awang percaya rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan memberikan pencapaian jauh lebih cemerlang pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles nanti.

- Advertisement -

Menurutnya, untuk memasuki pusingan akhir (final) keirin di Sukan Olimpik bukanlah sesuatu yang mudah kerana itu adalah fakta.

“Ketika Olimpik Tokyo beliau terkandas di pusingan quarterfinal dan penampilan kali ini di Paris beliau berada di final adalah satu prestasi yang amat cemerlang,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial beliau, hari ini.

Katanya, memasuki baki 100 meter perlumbaan, Shah Firdaus datang dengan kelajuan yang meyakinkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa namun berlaku himpitan di selekoh terakhir yang menyebabkan beliau jatuh.

“Satu persembahan yang kita semua perlu bangga dan saya berharap Shah akan terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi dari masa ke semasa untuk terus kekal cemerlang di peringkat antarabangsa,” ujarnya lagi.

Katanya, paling penting adalah untuk menggunakan empat tahun dari sekarang sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri ke temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

“Mungkin bunyinya terlalu awal akan tetapi itulah realitinya apabila kita bergelumang di peringkat tertinggi ini.

“Akhir kata saya percaya Shah akan jauh lebih bagus dan boleh memberikan pencapaian jauh lebih cenerlang di LA2028 nanti,” tambahnya.

Semalam, Shah Firdaus yang menjadi harapan terakhir untuk memenangi pingat emas pertama buat negara di Sukan Olimpik tidak kesampaian walaupun berjaya ke final acara keirin lelaki.

Ini susulan pelumba berusia 28 tahun yang berasal dari Muar itu dilanggar pelumba Jepun, Shinji Nakano yang menyebabkan beliau dan pelumba Great Britain, Jack Carlin terjatuh.

Sukan Olimpik Los Angeles 2028 akan berlangsung pada 14 hingga 30 Julai 2028. – HARAKAHDAILY 12/8/2024

- Advertisement -