Petani lega, hujan akhirnya mencurah di Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Hujan yang turun sepanjang minggu lepas dan minggu ini di Perlis memberikan kelegaan besar kepada para petani, khususnya di kawasan Semadong di mana kini dapat kembali menjalankan aktiviti pertanian seperti biasa.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani Negeri, Razali Saad, menyatakan rasa syukur selepas hujan yang akhirnya mencurah ke negeri ini setelah kemarau melanda.

“Alhamdulillah, hujan dah (sudah) turun, petani terutamanya di kawasan Semadong dapat memulakan aktiviti pertanian seperti biasa,” katanya kepada Harakahdaily, di sini, hari ini.

Razali turut memaklumkan bahawa sebelum ini, pihaknya telah menghantar surat kepada pihak berkenaan untuk permohonan pembenihan awan bagi mengatasi masalah kekurangan air di kawasan bendang luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Langkah itu diambil sebagai usaha proaktif untuk membantu petani yang terjejas akibat penyusutan paras air berikutan sebelum ini, paras air di Empangan Timah Tasoh menyusut ke tahap membimbangkan, iaitu di bawah 27.10 meter sehingga 16 Julai lepas.

Keadaan tersebut ujarnya, menyebabkan bekalan air untuk pertanian tidak dapat disalurkan, melibatkan 3,075 hektar kawasan tanaman padi di negeri ini, termasuk di Kampung Semadong, Beseri.

Namun terkini maklumnya, paras air di Empangan Timah Tasoh semakin meningkat, iaitu 26.87 meter pada hari ini, berbanding 26.72 meter pada Jumaat lepas.

“Peningkatan ini membawa harapan baru kepada para petani yang bergantung kepada sumber air dari empangan tersebut untuk memastikan tanaman padi mereka terus hidup dan berkembang.

“Dengan kehadiran hujan yang berterusan, situasi air di negeri ini diharap akan terus pulih, membolehkan petani kembali fokus kepada usaha meningkatkan hasil pertanian mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2024

- Advertisement -