
KANGAR: Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024, pelbagai program patriotik dirancang dengan kemuncaknya adalah Majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis pada malam menjelang 31 Ogos 2024.
Program-program yang diatur termasuklah kayuhan dan larian patriotik, khutbah khas penghayatan bulan kemerdekaan, perarakan, dan kibaran Jalur Gemilang.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menyeru agar seluruh rakyat negeri Perlis menyemarakkan semangat patriotisme dengan menghias setiap kediaman, premis perniagaan dan pejabat dengan Jalur Gemilang.
Beliau berucapan demikian di Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perlis 2024 yang berlangsung di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, di sini hari ini.
Beliau menekankan bahawa tahun 2024-2025 merupakan Tahun Melawat Perlis, dijangka akan menarik ramai pelancong dari seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak untuk menunjukkan semangat cinta kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang secara besar-besaran.
Usai majlis perasmian, Menteri Besar turut membuat pelepasan konvoi kenderaan Kempen Kibar Jalur Gemilang, melibatkan tiga kumpulan dari setiap kawasan parlimen di negeri ini.
Setiap kumpulan terdiri daripada 15 kenderaan yang diketuai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK).
Dalam ucapannya, Mohd Shukri juga berkongsi kisah Mus`ab ibnu Umar RA dalam Perang Uhud, sebagai simbolik kepada semangat perjuangan dan kecekalan perlu diteladani oleh rakyat dalam memastikan negara terus maju dan makmur. – HARAKAHDAILY 12/8/2024














