KMI Healthcare tunai zakat perniagaan kepada MAIDAM

(Dari kiri) Pengurus Besar KMI Taman Desa, Norliza Razali, Pengerusi Lembaga Pengarah KMI Taman Desa Medical Centre, Dr. Azman Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof. Madya Dr Ahmad Azrin Adnan dan Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare), melalui anak syarikatnya Taman Desa Medical Centre hari ini menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM54,214.80 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

- Advertisement -

Pengerusi Lembaga Pengarah KMI Taman Desa Medical Centre, Dr. Azman Ibrahim berkata, dana tersebut bakal digunakan untuk menyokong pelbagai inisiatif amal dan program di bawah naungan MAIDAM, terutamanya dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat dan membantu golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, melalui program itu ia dapat mengukuhkan lagi komitmen KMI Healthcare terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan khidmat kepada masyarakat.

“Kepentingan zakat bukan sahaja sebagai salah satu rukun Islam, tetapi juga sebagai cara untuk memupuk keharmonian sosial.

“KMI Healthcare berperanan dalam memastikan dana zakat ini sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan dengan kerjasama MAIDAM,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Wang Zakat itu di sebuah hotel, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali, Pengurus Besar KMI Taman Desa, Norliza Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof. Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.

Azman berkata, KMI Taman Desa adalah sebuah hospital pakar komuniti yang telah menempa pelbagai kejayaan secara konsisten sejak tahun 2019.

Katanya, ia dibuktikan lagi dengan peningkatan hasil yang didorong oleh peningkatan bilangan pesakit dalam, kadar penghunian katil yang tinggi dan peningkatan purata hasil setiap pesakit dalam.

“Membanggakan tahun lepas, 6 Disember 2023 KMI Taman Desa telah dinobat sebagai ‘Best Multi-Disciplinary Community Specialist Hospital’ di Anugerah BrandLaureate 2023,” katanya.

Azman berkata, dengan lebih daripada 22 pakar perunding dan kakitangan yang berdedikasi, KMI Taman Desa akan terus menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi kepada pesakit.

“KMI Healthcare sangat komited bukan sahaja untuk menyediakan perkhidmatan perubatan yang terbaik tetapi juga untuk menjadi syarikat korporat yang bertanggungjawab.

“Sumbangan zakat kami adalah bukti dedikasi syarikat terhadap pembangunan komuniti dan kebajikan sosial,” katanya.

Untuk rekod, KMI Taman Desa ditubuhkan pada tahun 1997 dan beroperasi sebagai sebuah fasiliti kesihatan yang menyediakan 39 katil dan terletak di lokasi strategik di kawasan Taman Desa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. – HARAKAHDAILY 12/8/2024

- Advertisement -