
KOTA BHARU: Dua daripada lima anugerah yang diperkenalkan kerajaan negeri melalui Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KekWa) merupakan anugerah baru sempena Sambutan Hari Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, anugerah tersebut Keluarga Cekal (bapa tunggal) dan Anugerah Keluarga Bangkit.
Menurutnya, Anugerah Keluarga Cekal diberikan kepada seorang bapa yang berjaya mengurus keluarga tanpa isteri di sisi, manakala Anugerah Keluarga Bangkit diberikan kepada keluarga yang berjaya bangkit dari segala kesusahan hidup.
Menurutnya, keluarga itu bangkit melawan arus kehidupan dunia mencabar hari ini hingga menjadi keluarga yang berjaya sama ada kemiskinan atau berperang dengan najis dadah.
Selain itu, katanya tiga lagi anugerah diperkenalkan setiap kali pada program ini diadakan, iaitu Keluarga Cemerlang yang akan diberikan kepada keluarga yang berjaya memberikan pencapaian cemerlang dalam pendidikan, sosial dan lain-lain.
“Selain itu Anugerah Keluarga Istimewa (OKU) yang diwujudkan untuk memberi penghargaan kepada keluarga ini.
“Anugerah Tabah (Armalah) diberikan kepada golongan ini sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya kerana telah melalui cabaran besar dalam mengurus keluarga dan anak-anak,” katanya.
Rohani berkata demikian pada sidang media sempena Hari Keluarga Mawaddah Peringkat Negeri Kelantan 2024 di pejabatnya di MABNA, Kota Darulnaim, di sini semalam.
Beliau menambah, program itu akan diadakan pada 7 September bertempat di Taman Perbandaran Tengku Anis, di sini bermula pukul 7:00 pagi hingga 1:30 tengah hari.
Tambahnya, program itu dianjurkan sebagai inisiatif untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.
“Majlis perasmian akan disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassaruddin Daud.
“Kita sasarkan program ini pada masyarakat umum, keluarga, termasuk anak-anak, cucu serta datuk dan nenek,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 12/8/2024











