Vape: Perspektif hanya untuk memuaskan nafsu

Mohd Khuzaini Ab Rahman
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Perspektif dan andaian yang dibuat kalangan remaja berhubung menghisap vape hanya untuk memuaskan nafsu dan keinginan mereka semata-mata, kata Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Mohd Khuzaini Ab Rahman.

- Advertisement -

Katanya, kalau zaman dahulu, rokok menjadi satu barang yang terkenal dalam kalangan lelaki tidak kira tua ataupun muda.

Namun kini, ujarnya rokok telah digantikan kepada rokok elektronik yang lebih mesra dipanggil sebagai vape.

Beliau berkata, sangat menyedihkan apabila vape menjadi kegilaan dalam kalangan remaja, tidak hanya kepada lelaki malah perempuan juga turut sama terjebak dalam pengambilannya.

“Rata-rata kalau kita berjumpa atau terserempak dengan anak muda ini, di setiap leher mereka pasti akan ada bergantung pelbagai jenis vape dengan perisa yang berbeza,” ujarnya menerusi slot Muhasabah Diri di laman sosial beliau, hari ini.

Katanya, kebanyakan anak muda menyatakan bahawa hukum menghisap vape adalah tidak haram seperti menghisap rokok.

Hal ini, ujar beliau kerana mereka menyatakan rokok dan vape adalah dua perkara yang berbeza serta melalui perspektif mereka, vape adalah lebih selamat berbanding rokok.

“Namun begitu, perspektif dan andaian yang dibuat itu hanyalah untuk memuaskan nafsu dan keinginan mereka semata-mata.

“Hakikatnya, jika kita rujuk kepada laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menggunakan atau menghisap rokok elektronik (vape) ini adalah haram di sisi agama,” ujarnya yang juga ADUN Kota Putera.

Menurutnya, ini kerana vape juga pada akhirnya akan mendatangkan kemudaratan ke atas individu tersebut.

Katanya, di dalam surah Al-Baqarah ayat 195, Allah SWT telah berfirman pengharaman bagi setiap perkara yang memudaratkan.

Dalil tersebut, ujar beliau membawa maksud seperti berikut: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan”.

“Akhir kata, janganlah kita melakukan perkara yang tidak disukai Allah SWT.

“Jagalah segala perkara yang diberikan oleh-Nya dan semoga kita semua sentiasa istiqamah dalam melaksanakan perintah dari Allah SWT. Wallahu’alam,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 9/8/2024

- Advertisement -