Pakat molek-molek dalam semua urusan – Exco

Dr Azman Ibrahim menunjukkan ke arah unit RMM Tempinis semasa meninjau kawasan berkenaan.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berhara semua penghuni Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Tempinis, Besut hidup aman damai.

- Advertisement -

“Pakat molek-molek dalam semua urusan. Jaga keharmonian dan silaturahim sesama jiran,” katanya menerusi catatan di laman sosialnya, hari ini.

Menurutnya, RMM Tempinis antara projek RMM kerajaan negeri mengandungi 100 unit rumah yang telah berjaya disiapkan mengikut jadual di mana majlis penyerahan kunci telah dibuat pada 20 November 2023.

Katanya, rumah yang bernilai RM150,000 tetapi diagihkan kepada penerima yang berhak dengan harga RM80,000 sahaja secara sewa beli.

RMM Tempinis menjadi projek perintis rumah berciri mesra syariah pertama di negeri ini.

Idea penjenamaan semula RMM dengan penambahbaikan ciri-ciri rumah mesra syariah telah dirujuk untuk dijadikan identiti bagi membolehkan rakyat Terengganu dan para pemaju perumahan membezakan RMM negeri ini dengan negeri-negeri lain.

RMM sebanyak 100 unit itu adalah contoh terbaik yang membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40).

Projek RMM itu dibina di atas tanah kerajaan berkeluasan 3.85 hektar yang merangkumi keluasan tapak 800 kaki persegi satu unit.

Spesifikasi RMM itu mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air serta ruang keluarga yang eksklusif menepati syariah iaitu terhalang daripada perhatian tetamu yang berkunjung. – HARAKAHDAILY 9/8/2024

- Advertisement -